SEORANG pelajar lelaki di Indonesia sanggup berlari sejauh 5 kilometer (km) dari rumahnya supaya tidak ditinggal pemandu yang menjemput dan mengambilnya untuk ke sekolah.
Muhammad Alif Faturrohman, 14, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kartika, Jember, Indonesia dan merupakan anak yatim yang hanya tinggal bersama neneknya.
Rutin harian Alif untuk ke sekolah bermula pukul 5 pagi dengan perisapan diri yang lengkap bersama buku teks serta pakaian seragam sebelum bergegas ke sekolah.
BACA LAGI: Pilunya hati lihat anak kecil, orang tua diabai keluarga sendiri
BACA LAGI: Kehilangan ayah ketika berusia 30 hari, pelajar Politeknik kejar impian jadi jurutera
Alif juga akan menaiki sebuah kereta pihak sekolah yang akan menunggunya di Pejabat Daerah Patrang, di mana jaraknya sejauh 5 km dari rumahnya.
Menurutnya, keputusan untuk berlari itu adalah disebabkan struktur jalan yang cerun dan berbukit.
"Bila ke sekolah jalannya menurun, jadi ia bagus untuk berlari dengan cepat. Tetapi, kalau pulang ke rumah jalannya mendaki dan kadangkala jadi letih sedikit.
"Tetapi, ia tidak jadi masalah kerana saya sudah biasa berlatih untuk menjaga fizikal dan stamina untuk kejar impian menjadi Tentera Nasional Indonesia," katanya.
Bukan itu sahaja, Alif juga terpaksa berjalan sejauh itu kerana tiada kenderaan sendiri serta keadaan ekonominya yang tidak stabil.
Katanya, dia menjalani hidup sebagai anak yatim piatu sejak ayah dan ibunya meninggal dunia ketika dirinya masih kecil.
Lebih memberi inspirasi apabila Alif dilihat tidak banyak merungut dan mengeluh meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan hidup.
"Dulu saya guna basikal kecil yang dapat daripada sekolah, tetapi sudah rosak. Namun, saya bersyukur juga sekarang kerana pakaian dan semua kelengkapan percuma, jadi saya tak perlu bayar apa-apa," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengetua sekolah, Pelda Iwan Abdillah berkata, pihaknya bangga melihat semangat pelajarnya yang tidak pernah putus lebih-lebih lagi dalam mengejar cita-cita sebagai seorang tentera.
Pelda berkata, pihak sekolah menyediakan kemudahan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar pelajarnya yang majoriti berasal dari Patrang.
"Tetapi, disebabkan rumah Alif agak jauh dan lebih ke kawasan Rembangan, kereta kami tidak dapat sampai sana. Kereta kami juga dalam keadaan usang dan sering rosak," katanya.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 81 pelajar di sekolah itu, hanya sebanyak sembilan hingga 10 pelajar boleh dimuatkan dalam kereta tersebut, malah tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram