MASALAH perpindahan penduduk di Kampung Sungai Baru dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur semakin 'panas' selepas selebriti tempatan, Rafidah Ibrahim dilihat tidak berputus asa memperjuangkan nasib mereka.
Isu yang berbangkit sejak lebih tiga tahun itu menjadi serius apabila rata-rata penduduk teres di kawasan itu mahu mempertahankan tanah dan hak masing-masing.
Selain ia memberi kesan negatif terhadap golongan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa untuk melakukan pertukaran sekolah, malah perkara itu juga menyukarkan penduduk warga emas.
Antara rumah penduduk yang dikunci oleh pihak pemaju selepas berpindah keluar.
Hal ini kerana, bukan semua penghuni rumah mempunyai daya keupayaan yang sihat dan kemampuan untuk mencari tempat tinggal baharu.
Sama seperti yang berlaku pada seorang daripada penduduk asal kampung tersebut sejak lebih sedekad yang mahu dikenali sebagai Noraya.
Wanita berusia 83 tahun itu meluahkan rasa kesalnya terhadap pihak pemaju kerana tidak bersimpati dengan keadaan-keadaan penduduk.
Menurutnya, paksaan daripada pihak pemaju itu menyukarkan keluarga dengan keadaannya tidak boleh berjalan dan berdiri terlalu lama.
Bukan itu sahaja, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Ina, 60, berkata, tindakan tidak berhati perut itu boleh memburukkan lagi keadaannya yang sedang sakit.
Katanya, buat masa sekarang anak-anaknya boleh menghantarnya ke hospital kerana jarak lokasi yang dekat dengan rumah.
"Sekarang memang anak-anak uruskan hal hospital saya, tapi nanti kalau kena keluar atau pindah macam mana?
"Saya duduk di rumah pun dengan cucu yang masih bersekolah," katanya kepada Majoriti.
Ina turut menggesa pihak kementerian berwajib untuk turun ke lokasi terbabit melihat keadaan setiap penduduk.
Pada masa sama, Ina turut memohon jasa baik pihak pemaju untuk bertimbang rasa kerana terdapat penghuni lain yang berada dalam keadaan lebih teruk.
Penghuni tersebut dikatakan seorang warga emas uzur dan terpaksa menjalani kehidupan hariannya hanya di atas katil.
"Kasihanilah penduduk, ada seorang makcik tu terlantar tak boleh bergerak. Macam mana kebajikan dia kalau dipindahkan ke tempat lain seperti rumah pangsapuri," katanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan projek pembangunan itu juga melibatkan lebih tiga blok rumah Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan juga rumah teres di kawasan tersebut.
Namun, apa yang membangkitkan kemarahan penduduk apabila pihak pemaju didakwa bertindak tidak adil kepada sesetengah penduduk terutamanya penghuni rumah teres.
Menurut seorang penduduk yang terjejas dengan masalah tersebut, masalah mula timbul apabila mereka kononnya tidak diberikan jumlah pampasan selayaknya dengan kos rumah dan tanah kepunyaan mereka.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram