Pengasuh taska perlu jalani kursus tambahan elak dera, cuai jaga anak-anak asuhan — Noraini


  • Primer
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Pengasuh taska perlu menjalani latihan dan kursus bagi meningkatkan kemahiran dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak. — Gambar hiasan

PENGUSAHA taman asuhan kanak-kanak (taska) digalakkan untuk menghantar pengasuh di bawah kelolaan mereka untuk menjalani latihan dan kursus bagi meningkatkan kemahiran dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perkara itu penting dalam memastikan pengasuh mampu menghadapi cabaran masa kini yang memerlukan pendekatan berbeza dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Kursus-kursus (susulan) ini memang kita galakkan untuk setiap pengasuh meningkatkan kemahiran sebab kita tahu cabaran zaman sekarang berbeza dan pendekatan yang digunakan juga harus berbeza,” katanya memetik laporan Buletin Utama pada Ahad.

BACA LAGI: Pengasuh dera bayi 2 bulan sampai patah kaki di JB bebas dengan jaminan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu maut, penumpang parah kereta terbabas rempuh penghadang jalan di Iskandar Puteri

WhatsApp Image 2024-08-04 at 17.32.35 (1)

Noraini

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kursus susulan itu penting bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini di taska termasuk penderaan, kecuaian dan pengabaian anak-anak asuhan yang sering dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya, situasi tersebut sangat membimbangkan dan menuntut perhatian serta tindakan segera pelbagai pihak terlibat.

"Sebagai pendidik dan penjaga, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan kanak-kanak,” katanya.

Noraini dalam pada itu memaklumkan, setakat ini terdapat sebanyak 3,043 taska mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menggaji seramai 16,167 pengasuh, dengan bilangan bayi dan kanak-kanak asuhan seramai 70,340.

Beliau turut berkata, kerajaan kini giat mengenal pasti taska yang beroperasi tanpa kelulusan JKM.

"Setakat ini, sebanyak 1,080 taska sedang menunggu kelulusan untuk beroperasi di seluruh negara.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengeluarkan kelulusan bagi membolehkan taska berkenaan beroperasi selepas memperoleh sijil perakuan termasuk keselamatan daripada tiga agensi lain.

"Ia melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram