Pengasuh dera bayi 2 bulan sampai patah kaki di JB bebas dengan jaminan polis


  • 112
  • Sabtu, 03 Ogos 2024

Seorang bayi mengalami kecederaan patah paha kiri ketika dihantar ke kediaman suspek di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.

PENGASUH bayi yang ditahan selepas didakwa mendera kanak-kanak berusia dua bulan di Johor Bahru, Johor dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata, wanita berusia 36 tahun yang ditahan kerana disyaki menyebabkan patah pada salah satu paha bayi perempuan itu dibebaskan pada Rabu lalu.

“Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat pada Rabu lepas.

"Kami sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada Sabtu.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Terdahulu polis menahan seorang pengasuh wanita disyaki melakukan penderaan dan pengabaian sehingga menyebabkan seorang bayi berusia dua bulan mengalami kecederaan patah paha kiri ketika dihantar ke kediaman suspek di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, Johor.

Raub berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 4.58 petang Ahad.

"Pada pagi Isnin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Selatan telah bertindak menahan wanita berusia 36 tahun itu.

"Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod lampau berkaitan kes jenayah dan malah, ujian air kencingnya turut mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Raub berkata, suspek direman selama enam hari bermula Selasa hingga Isnin depan bagi siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram