
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menyumbang bekalan makanan haiwan bernilai RM24,120 kepada Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Machang, Kelantan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam pada Khamis.
Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, sejumlah 3,000 kilogram keratan ayam sejuk beku diserahkan kepada pusat pemulihan tersebut.
Ini dibuat bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi agensi tersebut.
BACA LAGI: Cuba seludup masuk 15kg tikus salai, warga Myanmar kena cekup di KLIA
BACA LAGI: Malaysia bebas anthrax, DSV tetap waspada risiko ternakan import terutama dari Thailand
Penyerahan makanan haiwan kepada wakil Penjara Machang. — Facebook/MAQIS Kedah
“Kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang telah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Hishami, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang melibatkan isu biosekuriti, terutamanya yang melibatkan aspek halal dan akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian di pintu masuk negara.
“MAQIS juga akan terus memberi kerjasama dalam pelbagai aspek dan diharapkan usaha ini dapat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram