FAMA sasar edar 2,000 tan metrik beras putih tempatan setiap bulan


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Aminuddin Zulkipli (kanan) ketika meninjau stok beras selepas melancarkan Go Cashless di Agrobazaar Rakyat Mat Frozen di Teluk Intan, Perak pada Jumaat. — Bernama

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengedar 2,000 tan metrik beras putih tempatan (BPT) setiap bulan di seluruh negara.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata pengedaran dilaksanakan di 35 pusat operasi FAMA selain 416 outlet usahawan bimbingan FAMA, 102 lokasi Jualan Agro Madani dan 726 kedai runcit terpilih.

"Sehingga kini, sejumlah 1,321.6 tan metrik BPT bernilai RM3.37 juta dan 132,160 kampit BPT seberat 10 kilogram diedarkan di seluruh negara.

"Kita berjaya laksanakan pengedaran BPT ini hingga 90 peratus di seluruh negara dan ia tertakluk kepada bekalan stok yang ada, setakat ini kita tidak ada masalah dengan pembekal," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Go Cashless di Agrobazaar Rakyat Mat Frozen di Kampung Padang Tembak di Teluk Intan, Perak pada Jumaat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu semasa sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran BPT ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk kedai runcit.

Mohamad berkata, memandangkan margin jualan BPT hanya dikenakan sebanyak 50 sen bagi kampit 10 kilogram di peringkat runcit, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak FAMA dan LPP bagi pengedaran BPT.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sebanyak 131 siri kempen pendigitalan pembayaran tanpa tunai fasa pertama telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 3,692 usahawan FAMA sejak September tahun lepas hingga Julai 2023.

Beliau berkata, kempen pendigitalan fasa dua pula yang bermula sejak September lepas membabitkan 14 cawangan Agrobazaar Rakyat di seluruh negara dan empat Pasar Tani Kekal (PTK) iaitu di Johor dan Kedah dengan melibatkan 220 usahawan.

Aminuddin berkata, pihaknya menyasarkan 515 cawangan Agrobazaar Rakyat dan 28 PTK seluruh negara akan melaksanakan kempen pendigitalan tersebut menjelang akhir 2023.

"Usahawan yang menyertai program ini akan dibekalkan beberapa bentuk bahan promosi program bagi menarik perhatian pengunjung menggunakan kaedah e-pembayaran seperti gegantung dan papan tanda. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram