Data bocor lagi, kali ini pengguna media sosial dakwa melibatkan pegawai tentera pula


  • Tular
  • Ahad, 14 Jan 2024

Kebocoran data peribadi menjadi kebimbangan rakyat dalam memuat naik maklumat dalam apa jua sistem. — Gambar hiasan

BELUM reda dengan masalah kebocoran data mangsa banjir, kali ini timbul lagi dakwaan mengatakan berlakunya perkara sama tetapi melibatkan pegawai tentera.

Terdahulu, pempengaruh media sosial mendedahkan, sebanyak 1,384 data individu mangsa banjir yang didakwa bocor dalam sistem yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

BACA LAGI : 'Data kita senang betul leak', maklumat lebih 1,300 mangsa banjir bocor

Namun, nampaknya ia dilihat semakin merebak dan berlaku sekali lagi baru-baru ini.

Menerusi hantaran dimuat naik di Twitter @amaraziz09, dia mendakwa bahawa berlakunya perkara tersebut selepas melihat senarai pegawai pesara pada Februari 2023.

msg1050426791-22271

Tangkapan skrin senarai nama pesara pegawai tentera yang didakwa telah bocor. — Twitter

Hantaran itu juga disertakan dengan dua gambar iaitu tangkapan skrin carian di laman web Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Data bocor seperti itu sahaja, mantap," tulisnya.

Manakala seorang lagi pengguna Twitter dengan menggunakan akaun @Loverboxs mendakwa, masalah tersebut juga berlaku dalam beberapa laman web rasmi pasukan keselamatan Malaysia.

"Betul jangkaan saya tahun lepas (2023), memang akan berlaku lagi pencerobohan data dalam laman webnya kerana beberapa kes termasuk profil tinggi," dakwanya.

Pada masa sama, ada juga yang menganggap ia sesuatu yang tidak dapat dibendung serta mengaitkannya dengan penolakan rakyat terhadap sistem PADU.

"Bagaimanalah orang nak percaya PADU," komen @whytapgosleep.

"Singapura dah tubuhkan perkhidmatan tunggal Digital Intelligent Service, mereka dah ada empat perkhidmatan, darat, laut, udara dan digital, ada panglima sendiri. Negara lain pun sama," tulis @Sauffie_84.

Digital Intelligent Service adalah satu perkhidmatan digital yang bertanggungjawab menyediakan risikan ketenteraan kepada angkatan tentera bagi membina pertahanan digital serta melindungi data sulit negara.

Ia dilaporkan sudah digunakan sejak 2022 lagi sehingga kini.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada tindakan atau kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung dakwaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram