PENYEDIA platform media sosial yang tidak mempunyai lesen bermula 1 Januari 2025 berdepan hukuman denda atau penjara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil begitupun menegaskan, lesen tersebut adalah untuk platform media sosial sahaja dan bukannya kepada pempengaruh atau pengguna biasa.
"Buat masa ini, kami telah menentukan bahawa tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Di bawah akta itu, jika sabit kesalahan, pemberi perkhidmatan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Mereka juga boleh didenda RM1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada sehari, selagi kesalahan itu berulang," katanya.
BACA LAGI: Majlis kerajaan makin 'tawar', kurang gula 50 peratus
BACA LAGI: Pusat Akuatik Arena Larkin ditutup 5 bulan akibat jangkitan bakteria E. Coli
Fahmi menegaskan pelaksanaan lesen itu bukannya untuk menyekat kebebasan bersuara. — Facebook/Fahmi Fadzil
Dalam masa yang sama, Fahmi mengatakan yang pelaksanaan lesen tersebut tidak akan membuatkan kerajaan sesuka hati untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
"Ramai yang bertanya adalah Meta Platforms Inc (Meta) akan ditutup jika sebagai contoh, selepas mereka memadam posting Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Jawapannya adalah tidak. Sebaliknya, bermula hari ini sehingga 31 Disember, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan adakan sesi libat urus dengan pemegang taruh, termasuklah pemilik penyedia media sosial dan sistem pemesejan internet, untuk kenal pasti peraturan dan tindakan yang bakal diambil perbuatan dan arahan diabaikan oleh pemegang lesen," ujarnya.
Fahmi juga menegaskan yang pelaksanaan lesen tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan untuk memerangi tiga perkara iaitu penipuan (scam), buli siber serta jenayah seksual terutamanya terhadap kanak-kanak.
Ia menepis dakwaan yang pelaksanaan tersebut bersifat untuk menyekat kebebasan suara.
"Kami mahukan suasana yang lebih baik, terutamanya dalam memastikan internet lebih selamat untuk anak-anak dan keluarga kita," jelas Fahmi. — The Star/RAHIMY RAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram