TINDAKAN kerajaan Malaysia yang memberi bantuan perubatan berbentuk ubatan-ubatan kepada Ukraine nampaknya kurang disenangi beberapa pihak di negara ini.
Bantuan bernilai RM227,984 itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa kepada Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk.
Dr Zaliha (kiri) bergambar bersama Mykhailiuk ketika menyerahkan bantuan ubat-ubatan. — Bernama
Dr Zaliha dilapor berkata, ia merupakan contoh terbaik pakatan strategik yang mempamerkan nilai kemanusiaan hebat dan matlamat bersama untuk keamanan serta keselamatan global.
"Dengan laporan berjuta-juta rakyat Ukraine meninggalkan rumah dan ramai yang menyeberangi sempadan ke negara jiran, tuntutan kepada nilai kemanusiaan yang tercetus daripada situasi kecemasan ini memerlukan tindakan segera bagi memastikan akses tanpa halangan kepada ubat-ubatan penting," katanya.
Meskipun menganggap bantuan tersebut sebagai tindakan terpuji, namun rata-rata netizen berpendapat, ia sepatutnya diberi kepada negara-negara Islam yang lebih susah dan memerlukan.
Apatah lagi, Ukraine sebelum ini pernah terpalit dengan beberapa peristiwa pahit membabitkan Malaysia dan umat Islam.
Keadaan di salah satu wilayah di Turkiye selepas gempa bumi dahsyat pada Isnin. — Agensi/Getty Images
Lis Lissa menulis: "Yang menembak jatuh pesawat MH17 boleh pulak beri sumbangan ubat. Lepas itu bising suruh rakyat bayar ubat."
Hang Husin berkata: "Tentera Ukraine terlibat dalam peperangan di Bosnia dan menyembelih ramai orang Islam Bosnia. Yang bangga sangat tolong mereka kenapa? Sekarang ni ramai pelarian Syria tak makan pergilah tolong."
Soal Noorazman Moon: "Perlu ke bagi bantuan ubat tu ke Ukraine? Kalau bagi juga apa kata Rusia, yang mana kita bantu musuh dia? Sedangkan kita pun ada urusan perdagangan dua hala dengan Ukraine dan Rusia. Kan lagi baik ubat tu hantar ke Palestin, dah sah Palestin tu negara Islam."
Tambah Julak Sawing: "Banyak lagi negara tetangga perlukan ubat seperti Indonesia, Filipina, Kemboja, Timur Leste. Jauh-jauh bagi dah kenapa? Kita susah nanti yang sampai dulu negara jiran tolong. Harga ubat-ubatan di farmasi pun sekarang mahal."
Firdaus Nor Azhar menulis: "Lebih baik hantar ke Turkiye. Negara mereka sedang ditimpa bencana alam gempa bumi teruk sekarang ini."
Berpendapat sama, Firdaus Abdullah Lo Hj berkata: "Bagus hantar ubat-ubatan itu kepada Turkiye. Jangan kita ambil pendekatan dilihat menyokong mana-mana pihak di sana. Konflik Rusia-Ukraine ini sudah 300 tahun berlaku. Rusia akan ambil hati betul jika Malaysia menampakkan sokongan kepada Ukraine.
Jelasnya lagi: "Ikut saja pendekatan kerajaan masa lepas iaitu berkecuali sahaja. Lagipun, tiada masalah kepada orang Ukraine, yang mana mencurah-curah bantuan masuk daripada Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka."
Pada Isnin, Malaysia menghantar seramai 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram