'Semoga ada tempat perlindungan himpun golongan terabai', ramai simpati remaja OKU dibuang keluarga di KL


  • Massa
  • Selasa, 30 Jul 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang remaja perempuan OKU yang didakwa dibuang oleh keluarga di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KEADAAN seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang dihantar ke sebuah rumah kebajikan di Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini menyayat hati ramai.

Menerusi video tular di Facebook sejak Selasa, remaja perempuan itu didakwa dibuang dan ditinggalkan keluarganya di Jalan Chow Kit sebelum diselamatkan oleh orang awam.

Dalam video sama, remaja tersebut dilihat tidak dapat berjalan dengan baik dan dikatakan mengalami kecacatan pada kakinya.

BACA LAGI: Polis sahkan Albertine tidak diapa-apakan suspek sepanjang tempoh diculik

BACA LAGI: Pakar patologi forensik bakal beri keterangan laporan bedah siasat kes kematian kadet TLDM

Remaja itu bagaimanapun berada dalam keadaan baik dan tidak cedera pada mana-mana anggota badan ketika dihantar di rumah kebajikan tersebut.

Dia juga dikatakan bertutur dengan lancar ketika menjawab segala pertanyaan beberapa penghuni lokasi rumah kebajikan terbabit dan orang awam.

Lebih menyedihkan apabila remaja itu dikatakan sempat bertanyakan kepada pengurus rumah kebajikan itu ruang khas untuk menunaikan solat meskipun dalam keadaan sedemikian.

Pada masa sama, video meruntun jiwa itu meraih perhatian dan simpati daripada rata-rata warga maya.

"Allahuakbar, kesiannya, luluh hati budak ni, semoga ALLAH beri kamu kesihatan walafiat, kekuatan, kesabaran, ketabahan dan keceriaan untuk kamu dapat menjalani kehidupan ini dengan gembira," tulis Syed Riduan Mat Duan.

Bukan itu sahaja, ada juga yang menyarankan kepada pihak berkemampuan untuk mengambil langkah membina satu tempat perlindungan golongan-golongan terjejas atau terabai.

"Semoga ada jutawan buka satu tempat perlindungan OKU, warga emas, asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin bawah satu bumbung serta ada semua kemudahan pendidikan dan kesihatan," komen Muhammad Sufiyan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan mahupun perkembangan terbaharu daripada pihak keluarga remaja terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram