Perantau Hijau Kuning beraya sakan di padang bola, eratkan silaturahim ahli Kelab Kedah Serata-rata


Kemeriahan acara bola sepak 'friendly' 4 penjuru anjuran Kelab Anak Kedah Serata-rata di Shah Alam baru-baru ini.

SUDAH menjadi kebiasaan kita melihat masyarakat Melayu mengenakan busana tradisional untuk meraikan sambutan Aidilfitri di rumah terbuka ataupun semasa mengunjungi rumah sanak saudara.

Namun, jarang sekali kita melihat pakaian tradisi Melayu itu digayakan ketika melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Itulah cetusan idea yang dilakukan anak jati Kedah menerusi Kelab Kedah Serata-rata yang membuat kelainan apabila mengajak anak perantau negeri Jelapang Padi di sekitar Lembah Klang menyambut Aidilfitri di padang bola sepak.

Aktiviti itu dibuat menerusi satu perlawanan persahabatan yang memerlukan peserta bermain bola secara santai dengan memakai baju Melayu.

BACA LAGI: Isteri pilu tarik jasad suami, 2 anak lemas mandi di Sungai Balak

FTS_3187

Acara bola sepak 'friendly' 4 penjuru Anak Kedah Serata-rata sambil memakai baju Melayu.

Menerusi aktiviti itu, lebih 100 ahli kelab menghadiri acara perlawanan persahabatan (friendly) empat penjuru Anak Kedah Serata-rata dengan memakai busana baju Melayu di Padang Sintetik MBSA Seksyen 28, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Selain pakaian tradisional, terdapat juga anak Kedah yang memilih untuk mengenakan pakaian lain seperti jubah dan kurta untuk bermain bola sepak.

Untuk rekod, Kelab Anak Kedah Serata-rata dianggotai oleh anak Kedah yang kini berada di perantauan.

photo1714910081

Azreen Mohd Nasir merupakan Presiden Kelab Kedah Serata-rata.

Presiden Kelab Kedah Serata-rata, Azreen Mohd Nasir berkata, aktiviti yang kali pertama dibuat dalam sejarah itu bertujuan untuk merapatkan silaturahim bersama lingkungan anak perantau Kedah yang berada di Lembah Klang.

"Mengenakan pakaian tradisional ini idea bersama komuniti kelab untuk memeriahkan suasana supaya nampak lebih ceria.

"Dengan cara ini dapat merapatkan silaturahim bersama anak perantau di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Tak serik masuk penjara 23 tahun, bekas banduan didakwa lagi cabul anak saudara di Muar

FTS_3174

Sebahagian aksi anak-anak perantauan Kedah ligat bermain bola sepak.

Azreen turut mengulas mengenai tujuan Kelab Kedah Serata-rata dibuat adalah untuk mengubati rindu anak-anak Kedah yang berada di perantauan terhadap kampung halaman mereka.

"Bila kita di perantauan pastinya rindu keluarga di kampung jadi apabila berkumpul sesama kami yang asalnya dari tempat sama, ia mampu buatkan kita seronok," katanya.

FTS_3453

Lebih 100 anak perantau Kedah berkumpul memeriahkan lagi acara bola sepak 'friendly' 4 penjuru Kelab Kedah Serata-rata sambil memakai baju Melayu di Shah Alam.

Azleen berkata, antara cabaran untuk berjumpa antara sesama ahli kelab bagi mengadakan program adalah dari segi perbezaan masa dan komitmen yang dimiliki setiap ahli.

"Sebab setiap orang ada komitmen masing-masing iaitu tuntutan pekerjaan. Ada yang kerja kerajaan ada yang kerja polis, tentera dan sebagainya.

"Jadi kebanyakan masa yang kami pilih untuk berkumpul adalah Jumaat malam Sabtu atau Sabtu malam Ahad. Kalau hari biasa agak susah untuk berkumpul," katanya.

FTS_3359

Sebahagian aksi anak-anak perantauan Kedah ligat bermain bola sepak.

Selain program berkenaan, Kelab Kedah Serata-rata aktif mengadakan program melibatkan bola sepak bersama di padang sekitar Selangor.

"Setiap minggu jika ada kelapangan memang kami kumpulkan anak-anak Kedah untuk bermain bola sepak bersama-sama di mana-mana padang yang kosong sama ada di Seksyen 19 atau Seksyen 28, Shah Alam," katanya.

Tidak hanya merapatkan silaturahim sesama anak Kedah, kelab berkenaan juga berkumpul bersama anak-anak dari seluruh negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor.

"Kami pernah buat liga melibatkan negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor. Kadang-kadang juga buat perlawanan persahabatan melibatkan anak-anak negeri lain," katanya.

FTS_3502

Kelab Kedah Serata-rata berjaya mengumpul lebih 400 anak perantauan Kedah untuk menjayakan aktiviti bersama.

Azreen meluahkan rasa terujanya apabila kelab itu berjaya mengumpulkan lebih 400 orang ahli menerusi group di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram.

"Kami memulakan kelab atas minat yang sama iaitu masing-masing minat bola sepak. Jadi daripada perlawanan yang dibuat selama ini, kami kumpulkan data-data anak Kedah untuk menguar-uarkan aktiviti-aktiviti yang diadakan," katanya.

Azreen turut berharap agar ahli kelab berkenaan memainkan peranan masing-masing untuk menguar-uarkan program berkaitan kelab supaya lebih ramai anak Kedah mengetahui tentang kelab itu.

"Melalui media sosial kami dapat mengenal lebih ramai anak Kedah dan juga ahli-ahli kelab sendiri berperanan menguar-uarkan dari mulut ke mulut mengenai kelab ini," katanya.

FTS_3489

Pengarang Berita Majoriti, Hasriq Amiruddin juga mengambil kesempatan beraksi dalam acara 'friendly' 4 penjuru Kelab Kedah Serata-rata.

Majoriti turut berkesempatan menonton aksi perlawanan tersebut yang menyaksikan ada anak perantau Kedah ligat bermain bola sepak sehingga ada yang tidak kisah apabila baju Melayu mereka terkoyak.

Memandangkan ramai anak dan isteri anak jati Kedah yang berminat menemani suami mereka ke acara-acara kelab berkenaan, Azreen berkata, bahawa kelab itu memiliki banyak perancangan lain yang ingin dibuat pada masa hadapan.

"Kita juga masih dalam perancangan untuk mengadakan aktiviti-aktiviti lain seperti hari keluarga, permainan boling dan juga badminton.

"Jadi anak-anak dan isteri juga boleh turut serta sekali dalam acara yang diadakan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram