Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha


  • Primer
  • Rabu, 31 Jul 2024

Gambar Anwar dan Ismail yang diturunkan oleh Meta pada Khamis.

UNIT Media & Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri mengutuk tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan gambar perjumpaan Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Instagram pada Khamis (31 Julai).

Gambar yang diturunkan Meta itu semasa perjumpaan Anwar dengan Ismail di Doha, Qatar pada 13 Mei lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh unit Media & Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri berkata, tindakan Meta itu jelas menunjukkan diskriminasi organisasi itu terhadap isu Palestin.

BACA LAGI: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilapor terbunuh di Iran

BACA LAGI: Pemimpin Hamas terkorban, seluruh masjid bawah Jakim tunai solat ghaib

"Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

"Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf," katanya di Facebook.

Untuk info, Ismail terkorban dalam serangan udara Israel di kediamannya di Tehran, Iran pada Rabu (30 Julai).

Sebelum ini, hantaran sama itu turut diturunkan oleh Meta pada Mei lalu sebelum dibenarkan dimuat naik selepas tindakan terbabit dikecam ramai.

Menerusi laporan media, pertemuan Anwar dengan Ismail di Doha pada 13 Mei lalu adalah bagi memujuk mereka untuk tampil penyelesaian secara aman terhadap konflik di Gaza.

Beliau turut menegaskan Malaysia kekal komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, Gaza.

Selain itu, Malaysia menggerakkan usaha lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram