Pemimpin Hamas terkorban, seluruh masjid bawah Jakim tunai solat ghaib


  • Primer
  • Rabu, 31 Jul 2024

Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran pada Rabu. — Agensi

SELURUH masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menunaikan solat jenazah ghaib berikutan kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu.

Memetik The Star, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar yang kini berada di Kaherah, Mesir, Arab Saudi dimaklumkan sudah memberi arahan tersebut kepada Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Mohd Ajib Ismail.

Menurut beliau, Jakim dan Jawi akan mengadakan solat ghaib selepas jenazah Ismail dimandikan.

BACA LAGI: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilapor terbunuh di Iran

BACA LAGI: [VIDEO] Pejuang Hizbullah balas dendam, lancar puluhan serangan roket ke utara Israel

2832175

Jakim akan menunaikan solat jenazah ghaib susulan kematian Ismail pada Rabu. — Agensi

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu.

Wisma Putra berkata, Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.

"Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan, dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.

"Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan itu dan mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

"Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

"Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel," tambahnya.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa semua ahli delegasi Malaysia yang berada di Tehran berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, Ismail Haniyeh dilaporkan maut terbunuh di Tehran, Iran menurut kumpulan pejuang Palestin Hamas pada Rabu.

Perkara itu disahkan pengawal Revolusi Iran, dipercayai berlaku beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu negara tersebut.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas kematian itu dan Amerika Syarikat (AS) juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal tersebut.

Namun, kematian itu berlaku kurang 24 jam selepas tentera Israel mendakwa telah membunuh komander Hizbullah, Fuad Shukr di Beirut, Lubnan pada Selasa.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan bahawa kematian itu merupakan angkara Zionis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram