Tak perlu ada kelulusan jurutera, ini 2 kemahiran penting untuk ceburi bidang AI


  • Massa
  • Rabu, 31 Jul 2024

Kehadiran AI kini turut mewujudkan potensi baharu termasuk dalam menyediakan peluang pekerjaan di Malaysia yang mana ia dilapor juga menjanjikan tawaran gaji cukup lumayan.

SEJAK beberapa tahun lalu, kemajuan teknologi kecerdasan buatan atau AI berkembang cukup pesat di seluruh dunia.

Malah, boleh dikatakan impaknya kini boleh dirasai dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia bermula daripada aktiviti harian, pendidikan, pekerjaan sehinggalah ke sektor ekonomi dan perniagaan.

Kehadiran AI kini turut mewujudkan potensi baharu termasuk dalam menyediakan peluang pekerjaan di Malaysia yang mana ia dilapor juga menjanjikan tawaran gaji cukup lumayan.

BACA LAGI: Malaysia perlu tempoh 2 lagi penggal kerajaan sebelum capai status Harimau Asia

BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya

Pada Mac lalu, Amazon Web Services (AWS) dalam satu kenyataan memaklumkan pekerja Malaysia yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam AI boleh menikmati kenaikan gaji melebihi 40 peratus dengan pekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) berpeluang mendapat kenaikan 53 peratus manakala penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak 49 peratus.

Sementara itu, yang terbaharu, Kerajaan negeri Johor pada Isnin memaklumkan sedang berbincang untuk meningkatkan gaji permulaan bagi pekerjaan dalam bidang AI dan pusat data kepada sekurang-kurangnya RM7,000.

Dengan perkembangan positif tersebut, ia pastinya menarik minat orang ramai khususnya anak muda bagi menceburi bidang berkenaan.

6145380340198392186

Kemajuan teknologi AI kini berkembang pesat di seluruh dunia dalam tempoh beberapa tahun lalu. — Gambar hiasan

Namun, begitu, apakah sebenarnya potensi bakal dibawa AI ke dalam pasaran pekerjaan di Malaysia dan bagaimanakah rakyat Malaysia boleh mendapat manfaat daripada perkara tersebut.

Untuk mengetahui mengenai perkara tersebut, Majoriti bercakap bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kontron Malaysia, Datuk Dr Shanmuganathan Palanisamy.

Kontron merupakan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Jerman yang mana salah satu kepakarannya adalah dalam mereka bentuk sistem dan alat yang diperlukan teknologi AI.

Shanmuganathan berkata, secara umumnya terdapat tiga bidang pengajian tinggi yang agak sesuai dan boleh diambil oleh pelajar universiti sekiranya mereka mahu menceburi bidang teknologi tersebut.

Ia adalah program kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan komputer dan sains komputer.

"Tiga program pengajian ini sangat bermanfaat dan menyediakan pelajar dengan asas dalam bidang AI," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelulusan dalam ketiga-tiga program terbabit bukanlah subjek wajib diperlukan bagi membolehkan seseorang individu bekerja dalam bidang tersebut.

artificial-intelligence-750x450

Dua kemahiran penting yang diperlukan oleh pekerja mahir dalam bidang AI ialah 'coding' dan 'programming'. — Gambar hiasan

Menurut Shanmuganathan, pada ketika ini, dua kemahiran penting diperlukan untuk seseorang itu menceburi sektor AI adalah pengekodan atau coding dan juga pengaturcaraan atau programming.

"Pada pandangan saya, meskipun seseorang itu bukan seorang jurutera, anda masih boleh menceburi bidang AI selagi anda memiliki pengalaman dan minat mendalam dalam coding dan programming.

"Jadi kertas (kelulusan ijazah) bukanlah satu keperluan wajib. Anda sendiri boleh ambil inisiatif sendiri belajar programming dan bekerja dalam bidang AI," katanya.

Dalam pada itu, Shanmuganathan berkata, beliau yakin pekerja yang memiliki kemahiran AI ia akan mempunyai masa depan yang cukup cerah dengan mengambil kira permintaan cukup tinggi terhadap teknologi tersebut.

Antara peluang pekerjaan dalam bidang AI adalah pakar dan jurutera AI; jurutera automasi dan robotik; penganalisis data dan jurulatih AI; pakar pengalaman pelanggan dipacu AI dan pembangunan mampan serta penganalisis AI. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram