Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya


  • Politik
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Manimaran berkata, prinsip diperuntukkan di bawah Perlembagaan itu disifatkan masih agak longgar sekali gus memberi ruang kepada manipulasi ketika proses persempadanan semula

KERAJAAN disaran supaya melakukan semakan semula terhadap prinsip dan proses yang diguna pakai di bawah Perlembagan Persekutan Malaysia berhubung pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya di dalam negara.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, prinsip dan amalan sedia ada yang diperuntukkan ketika ini dilihat agak longgar dan kabur sehingga memberi ruang kepada manipulasi termasuk masalah gerrymandering dan persempadanan kawasan tidak saksama atau malapportionment.

Gerrymandering atau gerimander merupakan satu tindakan manipulasi yang dilakukan ketika proses persempadanan pilihan raya.

BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan

BACA LAGI: Selain Parlimen Lumut, ini antara 2 kawasan pilihan raya pernah alami gerrymandering

Manipulasi ini dilakukan sama ada melalui penciptaan kerusi baharu atau persempadanan semula kerusi sedia ada untuk memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.

Malapportionment pula adalah ketidaksamaan pembahagian jumlah pengundi antara satu kawasan dengan kawasan lain.

2757162

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran

Situasi itu menyebabkan terdapat kawasan yang nilai pengundinya adalah lebih tinggi berbanding satu kawasan lain.

Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan menggariskan beberapa empat prinsip tonggak dalam proses persempadanan semula yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikut adalah empat prinsip tersebut:

1. Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

2. Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

3. Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.

4. Memelihara hubungan tempatan.

Manimaran berkata, prinsip diperuntukkan di bawah Perlembagaan itu disifatkan masih agak longgar sekali gus memberi ruang kepada manipulasi ketika proses persempadanan semula

Beliau yang juga bekas Ahli Tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC), peruntukan terbabit juga disifatkan tidak banyak berubah sejak lebih 60 tahun ia digunakan menyebabkan ia gagal memenuhi keperluan dan perubahan terkini yang berlaku dalam amalan serta sistem pilihan raya negara.

"Kita punya prinsip prinsip persempadanan semula pilihan raya itu masih longgar sedangkan banyak perkara dah berubah termasuk dalam sistem pilihan raya kita. Jadi prinsip yang dah digunakan selama 60 tahun itu kita kena tengok balik," ujarnya.

797627

Penubuhan suruhanjaya khas bebas bagi menjalankan persempadanan semula membolehkan SPR menumpukan sepenuhnya tugasan melaksanakan pilihan raya. — Gambar hiasan

Sehubungan itu, beliau yang juga mengulangi beberapa cadangan yang sebelum ini disyorkan ERC antaranya penubuhan satu suruhanjaya khas bebas bagi melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya di dalam negara.

Berbanding dengan proses ketika ini yang memerlukan SPR untuk melaporkan kepada perdana menteri berhubung persempadanan semula yang bakal dilakukan, suruhanjaya khas terbabit akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen.

Dengan langkah tersebut, beliau berkata, SPR akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan melaksanakan pilihan raya dan sekali gus mengelakkan persepssi menyatakan bahawa suruhanjaya terdedah kepada pengaruh politik ketika melakukan persempadanan semula.

Dalam pada itu, beliau yang juga penulis bersama buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang' turut bersetuju terhadap cadangan supaya memasukkan peruntukan mengenai jumlah had pengundi di sesuatu kawasan untuk mengelakkan pembahagian tidak saksama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram