MB Johor cadang gaji kerjaya bidang AI dinaikkan RM7,000


  • Primer
  • Isnin, 29 Jul 2024

JTDC berperanan untuk menyelaraskan sektor-sektor utama dan membantu golongan belia mendapat pekerjaan yang baik.

KERAJAAN negeri Johor sedang berbincang untuk meningkatkan gaji permulaan bagi pekerjaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data kepada sekurang-kurangnya RM7,000.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ramai pelabur memilih untuk melabur di Johor berikutan kos utiliti, tanah, dan gaji pekerja yang rendah, iaitu 70 peratus lebih murah berbanding negara jiran.

"Jika semuanya rendah, mengapa syarikat-syarikat ini tidak boleh menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada golongan belia kita?

BACA LAGI: 'Yang rugi Johor', Malaysia beri ‘subsidi’ air mentah RM39 juta setahun kepada Singapura

BACA LAGI: Balai diserang, polis tingkat kawalan Istana Johor — Ketua Polis Negara

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Sebagai contoh, gaji permulaan untuk pekerjaan AI dan pusat data di Singapura adalah kira-kira 4,000 Dolar Singapura (SGD), iaitu kira-kira RM14,000.

"Kami sedang berbincang dengan pelbagai sektor untuk memastikan mereka membayar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada gaji yang dibayar di Singapura. Jika mereka boleh membayar RM14,000 di sana, mereka sepatutnya membayar sekurang-kurangnya RM7,000 di sini (Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyFutureJobs Mega Job Fair di Arena Larkin Indoor Stadium pada 28 Julai.

Tambahnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaporkan, kira-kira 20,000 kekosongan pekerjaan di negeri Johor masih belum diisi.

"Kami perlu mencari cara untuk menarik rakyat Malaysia, terutama warga Johor, untuk bekerja di sini. Daya tarikan utama adalah gaji yang tinggi," katanya.

Jelasnya lagi, kira-kira 300,000 rakyat Malaysia merentas sempadan untuk bekerja di Singapura setiap hari.

Menurut beliau, kerajaan negeri dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) untuk menangani isu tenaga kerja mahir

"Majlis ini akan memberi tumpuan kepada penyelarasan sektor-sektor utama dan membantu golongan belia kita mendapat pekerjaan yang baik," tambahnya. — The Star/REMARNORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram