Jangan buat spekulasi, beri kerajaan masa 'settle down' pelaksanaan subsidi diesel — Amir Hamzah


  • Primer
  • Ahad, 14 Jul 2024

Amir Hamzah berkata, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, jualan diesel dari stesen minyak di dalam negara menunjukkan pengurangan yang ketara.

KERAJAAN akan memberikan fokus terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi diesel termasuk memantau keberkesanannya sebelum membuat keputusan beralih kepada subsidi bersasar bagi petrol RON95.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan menyelesaikan terlebih dahulu penyasaran subsidi diesel dan tidak membuat sebarang spekulasi.

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

"Kita masih melihat keberkesanan inisiatif penyasaran subsidi diesel dan daripada data, kita sedang tengok (pantau) sama ada ia berjalan lancar atau tak, perkara itu masih diperhalusi.

"Dalam masa sama YB Rafizi (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) dan Kementerian Ekonomi masih perhalusi cara penyasaran RON95 yang berkesan. Beri masa kita 'settle down' dulu untuk lihat cara yang sama (seperti penyasaran diesel) akan berkesan.

"Tapi buat masa sekarang fokus (penyasaran subsidi) diesel dulu dan beri kerajaan untuk perhalusi, tak elok kita spekulasi apa yang terjadi," katanya seperti yang dilaporkan BH Online pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Amir Hamzah berkata, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, jualan diesel dari stesen minyak di dalam negara menunjukkan pengurangan yang ketara.

2331446

Kerajaan ketika ini masih belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan petrol RON95. — Gambar hiasan

Pada masa sama, beliau berkata, pada awal Jun lalu, purata jualan harian diesel dari stesen minyak di seluruh semenanjung adalah 28.6 juta liter sehari dan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menyaksikan purata berkurangan kepada 22.2 juta liter sehari.

Menurutnya lagi, pengurangan direkodkan adalah sebanyak 6.5 juta liter sehari atau 23 peratus jualan diesel dari stesen minyak di Semenanjung.

Daripada jumlah dinyatakan, Amir Hamzah berkata, jumlah ketirisan dianggar berjaya dapat dielakkan bernilai lebih RM250 juta sebulan.

"Kesimpulan ini disokong dengan data yang menunjukkan jualan diesel secara komersial meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan yang sama.

"Pada masa yang sama, terdapat stesen minyak di kawasan utara yang berdekatan dengan sempadan yang mengalami kejatuhan jualan diesel sehingga 40 hingga 50 peratus sekali gus memaparkan penurunan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludupan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram