[VIDEO] Polis pengiring jatuh parit meraung kesakitan, minta tolong lepas terbabas langgar van di Kelantan


  • Tular
  • Ahad, 14 Jul 2024

Tangkap layar seorang anggota polis pengiring dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan lain di Kampung Kubang Panjang di Kota Bharu pada Ahad.

SEORANG anggota polis pengiring dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan lain di Kampung Kubang Panjang dekat Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Melalui perkongsian awal seorang individu di aplikasi WhatsApp, kejadian itu berlaku selepas polis pengiring berkenaan melanggar belakang sebuah van.

"Polis escort (pengiring) langgar van di Kampung Kubang Panjang, Jalan Utama Kota Bharu menuju ke Pangkalan Kubur," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Majlis sambut besan Indonesia bertukar tragedi berdarah, YB tertembak tetamu hingga maut

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

Melalui video 20 saat yang dikongsikan itu, kelihatan anggota pengiring berkenaan berada dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah parit.

Sementara motosikal yang digunakannya itu berada di seberang parit berkenaan.

Turut kelihatan orang awam mengerumuni tempat kejadian.

Kedengaran mangsa yang terbaring di jalan raya meraung kesakitan meminta pertolongan.

Namun orang awam yang berada di tempat kejadian memintanya bersabar menunggu bantuan tiba.

"Kami tak boleh angkat bang, tak boleh angkat. Kena tunggu ambulans datang," katanya.

Pada masa sama, kelihatan seorang lagi anggota polis pengiring sedang membuat panggilan telefon.

Dalam video berasingan, kelihatan van cuba memasuki sebuah simpang ke arah kanan tanpa memberi sebarang isyarat sebelum dirempuh polis pengiring berkenaan.

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu termasuk ke dalam sebuah parit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan tersebut sedang menghala ke Pengkalan Kubor dari Kota Bharu.

Beliau berkata, anggota berpangkat konstabel itu menunggang motosikal jenis CBX 750 atas tugasan rasmi kawalan lalu lintas sempena lawatan kerja Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor.

"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah van jenis Nissan Vannete C22 dipandu oleh seorang lelaki berusia 50-an yang berada di hadapan anggota itu telah membelok ke kanan.

"Anggota terbabit cuba mengelak ke kanan tetapi gagal dan terlanggar pintu van itu sehingga mengakibatkan beliau mengalami kecederaan parah selepas paha kirinya patah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata anggota terbabit dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat Inspektor Ibrahim Usman menerusi talian 010-9069696. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram