KERAJAAN akan terus mengkaji jumlah pemberian dan akan mempertimbangkan untuk menilai semula jumlah bantuan tunai subsidi diesel RM200 melalui Budi MADANI, sekiranya harga runcit bahan bakar itu mencatatkan peningkatan pada masa hadapan, lapor Berita Harian.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan kajian daripada Jabatan Perangkaan (DOSM), ketetapan berkenaan kadar subsidi ketika ini bagaimanapun mencukupi bagi menampung kos diesel bulanan tambahan.
Katanya, kerajaan akan mengkaji jumlah pemberian subsidi (diesel) dari semasa ke semasa.
BACA LAGI: Jangan buat spekulasi, beri kerajaan masa 'settle down' pelaksanaan subsidi diesel — Amir Hamzah
BACA LAGI: Kerajaan masih kaji, teliti semula subsidi dan bantuan termasuk RON95 — Kementerian Ekonomi
"Ketetapan jumlah bantuan RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi dan industri.
"Berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 dikeluarkan DOSM berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung.
"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa jika perlu," katanya pada Isnin.
Lim Hui Ying
Jelas Ahli Parlimen Tanjong itu lagi, pemantauan penyasaran subsidi diesel itu perlu bagi memastikan golongan benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi MADANI, jika harga diesel meningkat di masa akan datang.
Menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai kos pembangunan Budi MADANI, Hui Ying berkata ia tidak membabitkan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan.
"Budi MADANI adalah (pembangunan) dari dalaman, jadi tiada kos yang terlibat kerana dibangunkan kakitangan kerajaan. Ia adalah pembangunan (secara) dalaman.
"Sistem ini (dibangunkan) oleh LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kita mempunyai pakar jadi tidak membabitkan sebarang kos," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram