PIHAK berkuasa tempatan (PBT) seharusnya mewajibkan peniaga membuat permohonan lesen perniagaan sendiri tanpa melibatkan 'orang tengah'.
Pakar Ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berpendapat, usaha tersebut sekurang-kurangnya dapat mengelak berlakunya isu rasuah melibatkan 'orang tengah' yang berperanan dalam menguruskan permohonan lesen perniagaan PBT.
Menurutnya, 'orang tengah' kebiasaannya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan tentang selok-belok permohonan lesen baharu dan mungkin juga ada kenalan dalam PBT.
BACA LAGI: [VIDEO] Lesen peniaga pasar borong KL dibekukan, ‘orang tengah’ kaut untung lebih RM4,000
Mohd Faisol Ibrahim
"Pada masa sama, mereka ini juga individu yang mempunyai public relationship yang baik.
"Oleh itu golongan ini akan cuba mengambil kesempatan dengan kelebihan yang mereka ada untuk memanipulasi keadaan dengan mengenakan caj yang tinggi.
"Caj yang tinggi ini mungkin disebabkan kos sogokan yang akan digunakan untuk mendapatkan lesen baharu.
"Justeru pihak PBT harus mengambil perhatian serius tentang kewujudan orang tengah kerana ia mungkin akan membawa kepada wujudnya pintu-pintu rasuah tanpa disedari," katanya kepada Majoriti.
DBKL membekukan permohonan baharu lesen perniagaan peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur bermula awal tahun ini.
Majoriti pada 7 Julai lalu melaporkan, sebahagian besar peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur menyuarakan kekecewaan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan permohonan baharu lesen perniagaan mereka bermula awal tahun ini.
Menurut salah seorang peniaga di pasar borong tersebut, Saifuldin Osman, 55, tindakan PBT membekukan permohonan baharu menyebabkan peniaga tidak dibenarkan untuk memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, tindakan PBT dilihat berupaya membantu peniaga tempatan mengurangkan persaingan perniagaan mereka.
Justeru ujarnya, peniaga tempatan perlu bersikap postif terhadap tindakan yang diambil DBKL.
Saifuldin menujukkan lesen perniagaan PBT milik perniagaannya yang sudah tamat tempoh.
"Tindakan ini sebenarnya bukan ingin menyusahkan dan merugikan perniagaan tempatan sebaliknya untuk menyelamatkan perniagaan mereka sendiri.
"Oleh itu mereka perlu bersabar dan mencari alternatif lain supaya perniagaan masih mampu diuruskan dengan kos yang minimum, dalam masa sama mampu memperoleh keuntungan.
"Peniaga tempatan juga perlu berpandangan jauh bahawa melalui tindakan PBT ini, isu seperti manipulasi harga barangan, sorok barang, persaingan tidak adil dalam perniagaan, kebersihan setempat, barangan haram, rasuah dan sebagainya dapat dihindarkan.
"Adalah tidak logik jika sebuah pasaran perniagaan bagi sesuatu tempat dikuasai dan didominasi peniaga asing sedangkan bilangan penduduk tempatan adalah ramai," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram