CHINA menyokong kemungkinan penyertaan Malaysia ke BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) kerana percaya pertambahan keanggotaan ke dalam blok ekonomi itu bakal menggalakkan usaha ke arah aturan global yang adil, kata Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.
"China mengalu-alukan penyertaan lebih ramai rakan kongsi dalam kerjasama BRICS supaya kita boleh bertindak bersama-sama untuk menggalakkan pembangunan aturan antarabangsa lebih adil dan munasabah," katanya ketika mengulas permohonan Malaysia menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).
Menurut diplomat China itu, pertambahan keanggotaan ke dalam blok ekonomi terbabit memenuhi semangat masa dan demi kepentingan semua negara terlibat.
“Ia juga memberi dorongan kuat kepada multipolariti dunia dan pendemokrasian hubungan antarabangsa,” tegasnya.
BACA LAGI: Malaysia perlu tempoh 2 lagi penggal kerajaan sebelum capai status Harimau Asia
BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian. — Agensi
Beliau turut berkata, semakin banyak negara membangun menunjukkan minat kepada kerjasama blok ekonomi tersebut sejak akhir-akhir ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia sudah menghantar permohonan menyertai BRICS ke Rusia yang merupakan Pengerusi kumpulan tersebut.
Ditubuhkan pada 2006, kumpulan BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China sebelum disertai Afrika Selatan pada 2011.
Pada waktu ini, BRICS mempunyai sepuluh ahli selepas enam negara baharu termasuk Argentina, dijemput menyertai persatuan itu pada Ogos 2023.
Bagaimanapun, Argentina membuat pusingan U daripada menyertai BRICS pada akhir Disember, manakala lima negara lain, iaitu Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Ethiopia menjadi ahli penuh BRICS mulai 1 Januari 2024.
Rusia mengambil alih kedudukan sebagai peneraju BRICS selama setahun bermula pada 1 Januari 2024. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram