[VIDEO] Kekal kerusi MP BERSATU, keputusan Speaker bercanggah dan bertindak luar bidang kuasa - Muhyiddin


  • Politik
  • Rabu, 10 Jul 2024

Keputusan Speaker itu disampaikan kepada pimpinan BERSATU pada Rabu.

SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan kedudukan kerusi enam bekas Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah kekal dan tidak dikosongkan.

Keputusan itu disampaikan kepada pimpinan BERSATU pada Rabu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kecewa dengan keputusan itu dan mendakwa Speaker telah menyalahtafsir Perlembagaan Persekutuan.

BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu

BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri

"Tafsiran songsang telah dibuat berikutan keputusan lima ahli Parlimen yang melanggar perlembagaan parti selaras dengan Akta dan peruntukan yang sedia ada.

"Jelas enam Ahli Parlimen telah terhenti keahlian dan dengan jelas ditafsir dalam Perlembagaan BERSATU yang sah," katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin berkata, Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat itu hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.

Sehubungan itu, beliau berkata, Perikatan Nasional akan membawa pakar perundangan dan mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

"Keputusan dibuat Yang Di Pertua Dewan Rakyat telah mengkhianati hasrat dan semangat murni apabila sebulat suara semua ahli Parlimen menyokong sebuah akta yang melarang mana-mana ahli Parlimen mengkhianati mandat rakyat dengan mengingkari parti yang diwakilinya," ujar beliau.

Muhyiddin berkata, BERSATU menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 pada lewat petang Selasa daripada Speaker Parlimen yang menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli BERSATU.

Dalam satu kenyataan berasingan, beliau berkata, keputusan Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, keputusan Speaker dengan memberikan alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan meskipun telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

"Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli BERSATU berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan BERSATU," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, sebarang pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif dengan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sudah memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat terbabit adalah terhenti keahliannya.

Kata beliau, pentafsiran BERSATU terhadap perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

"Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Bagi kedudukan kerusi melibatkan Parlimen Labuan, beliau mendakwa, Speaker memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut setelah selepas penyandangnya memulakan tindakan mahkamah yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan BERSATU.

Susulan daripada itu, beliau meminta Speaker untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihanraya.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

Kumpulan terbabit sebelum ini dilaporkan terhenti keahlian selepas mereka gagal untuk mengikut surat arahan parti bagi menyatakan ikrar taat setia kepada BERSATU.

Enam ahli Parlimen terbabit sebelum itu turut mengisytiharkan pendirian bertentangan dengan parti apabila bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram