MALAYSIA sudah mengkaji semua implikasi dan kemungkinan sebelum menyatakan hasrat menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keutamaan semasa adalah memperkukuh perdagangan dan ekonomi serta meluaskan rangkaian ekonomi negara untuk memberi manfaat kepada negara dan rakyat khususnya peniaga, sektor perniagaan serta pelabur.
BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri
“Jadi sebab itu kita lakukan kajian dan penilaian dan saya bersetuju dengan Seri Aman (Datuk Seri Doris Sophia Brodi - GPS), kami mengambil sedikit masa untuk mengkaji segala kemungkinan dan implikasi.
“Kami mendapati negara-negara dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) turut berada dalam BRICS, manakala negara dalam Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) juga berada dalam BRICS.
"Jadi, tidak ada sebab untuk Malaysia dikecualikan daripada pertimbangan sedemikian," katanya ketika menjawab soalan tambahan Doris (GPS-Seri Aman) semasa Sesi Pertanyaan Menteri pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Doris sebelum itu membuat pertanyaan mengenai sama ada sebarang kajian telah dijalankan berikutan hasrat kerajaan untuk menyertai BRICS kerana beberapa negara dalam kumpulan itu mempunyai latar belakang politik, ekonomi dan sosial yang berbeza.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan perlu mengembangkan rangkaian ekonominya untuk membantu rakyat serta negara berkembang dari segi pelaburan dan perdagangan.
“Selain hubungan dan kerjasama sedia ada, ada faedah untuk kita membuka ruang baharu terutama dari segi agenda Global South.
“Ia menunjukkan kesediaan negara untuk mempertahankan kepentingan negara mereka sendiri dan tidak terikat dengan satu kuasa ekonomi pun,” tambah Anwar.
Beliau memberi jaminan Malaysia akan terus mengukuhkan hubungannya dengan APEC, serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang merangkumi lima belas kawasan ekonomi di seluruh Asia dan Pasifik, dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang merupakan perjanjian perdagangan antara Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
"...ini akan mewujudkan laluan (perdagangan) baharu atau mengukuhkan laluan sedia ada," ujarnya.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan hasrat Malaysia menyertai BRICS bukan untuk mencampuri urusan domestik dan politik negara terbabit.
Meskipun Malaysia mempunyai hubungan dengan negara luar termasuk negara Barat dan mereka terlibat dalam APEC, Anwar berkata, Malaysia juga mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara seperti isu Gaza.
“Malah, ada pertentangan dan perbezaan besar kita dalam isu Gaza umpamanya, isu negara membangun, isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tapi itu tak menyebabkan kita harus memutuskan perhubungan terutama bila keutamaan itu adalah perdagangan," jelas beliau lagi.
Tambahnya, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam BRICS akan memberi manfaat kepada negara kerana KDNK blok itu mencecah AS$26.6 trilion, iaitu 26.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. — The Star/RAHIMY RAHIM/RAGANANTHINI VETHASALAM/GERARD GIMINO/BENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram