'Kami lihat ramai orang bawa senjata', pelajar Malaysia ketakutan kongsi keadaan rusuhan Bangladesh


  • Massa
  • Rabu, 24 Jul 2024

Saifuddin (depan, ketiga dari kiri) dan Mohamad Alamin (dua dari kanan) mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Bangladesh.

PELAJAR Malaysia di Bangladesh mengalami perintah berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan disebabkan protes ganas sehingga berlakunya kematian.

Disebabkan rusuhan itu, kenaikan harga bahan mentah naik mendadak dan bekalan makanan juga semakin berkurangan ketika mereka (pelajar Malaysia) berada di sana.

Seorang pelajar perubatan Malaysia, Mohd Haziq Syahmi, 33, yang baru tiba ke tanah air dari Bangladesh berkata, protes berhampiran universitinya sangat dahsyat.

BACA LAGI: Pesawat bawa 123 rakyat Malaysia keluar Bangladesh dalam penerbangan pulang ke tanah air

BACA LAGI: Misi bawa pulang rakyat Malaysia termasuk pelajar di Bangladesh bermula Selasa

"Ramai yang terbunuh, tujuh individu ditembak di kawasan saya dan kami sangat takut.

"Duit kami habis kerana tidak dapat mengeluarkan wang daripada ATM, tambahan lagi harga makanan melambung tinggi.

"Penduduk tempatan pula sedang bercakap-cakap mengenai krisis makanan yang akan berlaku," katanya ketika ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa (24 Julai).

Tambahnya lagi, sambungan internet terputus sejak Khamis lalu.

Seorang lagi pelajar perubatan, Syazanna Amira, 28, berkongsi, rata-rata pelajar Malaysia berjaya menghubungi ibu bapa mereka selepas hampir seminggu tidak mempunyai sambungan internet selepas syarikat telekomunikasi memberikan mereka akses percuma hujung minggu lalu.

"Pelajar berjaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka. Sebahagian daripada kami juga memberikan telefon kami kepada rakyat Malaysia lain yang tidak melanggan pakej itu untuk menghubungi keluarga mereka.

"Pihak kedutaan pula menghubungi kami setiap hari dan kami akan berjaga sepanjang malam secara bergilir-gilir, kerana panggilan biasanya diterima selepas tengah malam," jelas Syazanna yang merupakan pelajar perubatan di Kolej Perubatan Mymensingh.

Kongsinya lagi, Syazanna turut mendengar dakwaan pasukan keselamatan Bangladesh akan mengeluarkan perintah tembak kepada sesiapa yang melanggar perintah berkurung.

Syazanna berkata, ketika perjalanannya ke lapangan terbang Dhaka pada Selasa, dia melihat banyak kenderaan terbakar sepanjang jalan.

"Kami melihat orang ramai membawa senjata untuk melakukan rusuhan.

"Rakyat Bangladesh menasihatkan kami untuk pulang ke Malaysia kerana protes keganasan itu semakin teruk.

"Kami turut mendapat panggilan pada Isnin memaklumkan kami bersedia untuk dipindahkan.

"Saya sangat bersyukur dapat kembali ke rumah," luahnya.

Gambar 1

Pelajar Malaysia meminta bantuan untuk dibawa pulang ke tanah air. — Twitter/akmalazizan

Dalam pada itu, seorang ibu kepada pelajar Malaysia, Nor Hamimi Harun bersyukur selepas mengetahui dua anak lelakinya - Muhammad Alif Hazim, 22 dan Muhammad Alif Haziq, 25 telah dipindahkan.

Walaupun sambungan Internet di Bangladesh lemah, mereka berjaya menerima arahan pemindahan daripada Wisma Putra untuk meninggalkan Bangladesh.

Kedua-dua beradik yang belajar bidang perubatan itu, berkata mereka tidak dapat ke mana-mana kerana perintah berkurung sejak Sabtu.

"Saya bersyukur kerana dapat memeluk ibu saya," kata Aliff Haziq.

Gambar 2

Seramai 123 rakyat Malaysia di Bangladesh selamat tiba di tanah air pada Selasa.

Untuk info, seramai 123 rakyat Malaysia, dengan 80 pelajar, tiba di Terminal 2 kira-kira pukul 5 petang Selasa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin memberitahu pemberita di lapangan terbang bahawa lima askar Malaysia dan 10 juruterbang masih berada di Bangladesh atas komitmen kerja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh akan terus memantau perkembangan terkini.

"Rakyat Malaysia yang masih berada di sana dinasihatkan supaya sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi kita," katanya.

Sebelum ini, bantahan meletus di Bangladesh selepas mahkamah memutuskan untuk mengenakan semula kuota ke atas pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu lalu sebagai tindak balas terhadap keganasan yang semakin meningkat.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan memindahkan semua pelajarnya di tengah-tengah protes yang "membimbangkan" di Bangladesh.

Lebih 100 orang terbunuh sejak rusuhan tercetus minggu lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram