Sukar buat bapa Zulfarhan fail saman lepas 3 tahun — Peguam


  • Massa
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Zulkarnain (kanan) mengakui pihaknya sebelum ini bertindak untuk mengambil tindakan saman terhadap pentadbiran UPNM pada 2022.

BAPA Allahyarham Zulfarhan Osman mengakui pihaknya sebelum ini bertindak untuk mengambil tindakan saman terhadap pentadbiran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2022.

Memetik laporan Berita Harian pada Jumaat, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, bagaimanapun berkata, niat itu terpaksa dilupakan selepas dirinya terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi pihak tertentu.

"Saya ada buat (tindakan) saman kepada pihak UPNM, tetapi oleh kerana birokrasi pihak tertentu yang melambatkan dokumen menyebabkan tarikh saman berkenaan tamat.

BACA LAGI: Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim

BACA LAGI: 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli

"Tarikh tamat saman berkenaan adalah tiga tahun daripada tarikh kejadian dan tindakan saman berkenaan dilakukan melalui peguam saya ketika itu," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen di Facebook, rata-rata pengguna media sosial turut menggesa agar Zulkarnain mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak UPNM.

Tidak hanya sokongan dari segi moral, kebanyakannya juga berhasrat untuk menyalurkan sejumlah wang yang diperlukan bagi merealisasikan usaha berkenaan.

"Saman sahaja, hadap saja birokrasi mereka itu. Lama-lama kendurlah birokrasi mereka, teruskan sebagai pengajaran kepada mereka.

"Mereka lebih perlu bertanggungjawab dan dalam masa sama beri manfaat kepada pelajar baharu yang akan masuk agar kes begini tidak berulang lagi," kata Farid Arifan.

"Lawan pakcik kami mendoakan kemenangan untuk keluarga pakcik membela arwah. Ramai pihak yang akan membantu dan InshaALLAH pasti ada peguam bagus yang prihatin untuk membantu," tulis Wawa Joseph.

Bagaimanapun, seorang peguam, Hasif Hasan tampil memberitahu bahawa tindakan saman terhadap kerajaan mempunyai tempoh tertentu iaitu selama tiga tahun dari tarikh kejadian.

Beliau berkata, sekiranya pihak yang ingin menuntut gagal, enggan atau tidak memfailkan saman dalam tempoh tersebut maka apabila berakhir tempoh berkenaan, tidak boleh lagi berbuat demikian.

"Ini dipanggil time barred kerana saman mempunyai limitation period.

"Bagaimanapun jika saman difailkan dalam mana-mana tarikh dalam tempoh tiga tahun dan jika kes berlanjutan sekalipun, saman boleh diteruskan sehingga selesai.

"Agak sukar sebab sudah tujuh tahun. Jika sebulan dua ‘terlepas’ mungkin masih ada peluang," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hasif berkata, jika tidak difailkan dalam tempoh tiga tahun maka bukan isu birokrasi yang perlu dibangkitkan tetapi mungkin bapa Zulfarhan mempunyai sebab tertentu.

Ujar beliau, tidak ada pihak yang boleh menghalang mana-mana peguam memfailkan saman dan penyata tuntutan oleh peguam.

"Jika saman difailkan selepas tiga tahun, mahkamah tidak ada pilihan melainkan menolak saman berkenaan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram