Tart keju dibeli bapa disyaki punca murid tahun 4 maut keracunan makanan


  • Primer
  • Isnin, 29 Jul 2024

Mohd Mifzal meninggal dunia pada Khamis lalu dipercayai akibat keracunan makanan.

MURID tahun empat yang maut di Sandakan, Sabah pada Khamis lalu selepas dipercayai mengalami keracunan makanan disyaki memakan tart keju yang dibeli bapanya.

Menerusi laporan The Star, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sana memaklumkan pihaknya menerima notifikasi mengenai kematian kanak-kanak tersebut daripada Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Sandakan.

BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya

BACA LAGI: Siasatan kapal selam Scorpene: SPRM jumpa petunjuk baharu

"Kes kematian ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan sejarah memakan makanan yang dibeli oleh bapanya iaitu disyaki tart keju pada 23 Julai lalu (Selasa).

"Kanak-kanak tersebut telah mengalami gejala cirit-birit, demam dan hilang selera makan.

"Pada 24 Julai, kanak-kanak ini mengalami sawan dan telah dibawa oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya pada Ahad.

Dr Asits berkata, kanak-kanak itu kemudiannya diberikan rawatan kecemasan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

6140939399848902183

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sana.

Menurutnya, murid berkenaan seterusnya dimasukkan ke wad perubatan pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia.

"Maklumat awal diperoleh menyatakan ibu kanak-kanak tersebut juga ada memakan makanan tersebut dan mengalami gejala sama serta diberikan rawatan di Wad Perubatan Perempuan Hospital Duchess of Kent (HDOK).

"Bagaimanapun, sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan dan punca kematian masih dalam siasatan," jelasnya.

Dr Asits berkata, sampel makanan dan persekitaran turut diambil bagi tujuan menentu sahkan punca kejadian.

Pada Jumaat, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengesahkan kematian Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10 yang disyaki meninggal dunia akibat keracunan makanan.

Laporan mengenai kejadian itu turut menolak kemungkinan keracunan itu disebabkan makanan diperoleh dari sekolahnya memandangkan ibu mangsa juga turut mengalami gejala sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram