SEORANG pekebun lelaki berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan berhubung kematian dua beradik akibat termakan keropok mengandungi racun, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, suspek direman sejak 11 Julai hingga Rabu.
"Tempoh reman tidak akan disambung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya. Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Pekebun ada kaitan kes budak makan jajan beracun direman 6 hari bantu siasatan
BACA LAGI: Mangsa kedua makan keropok racun meninggal selepas 2 hari pemergian abang
Muhammad Luth Syauqi (kanan) meninggal dunia selepas dua hari Muhammad Akil Syauqi (kiri) meninggal dunia. — Facebook
Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan selepas menyebabkan dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3 dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, termakan keropok beracun dengan salah seorangnya sudah meninggal dunia.
Keropok beracun itu diletakkan oleh pekebun tersebut pada keropok sebagai salah satu cara menghalau kera yang sering masuk ke kawasan tanamannya.
Malangnya, keropok tersebut dimakan oleh dua kanak-kanak tersebut dan keracunan hingga perlu dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Akil Syauqi disahkan meninggal dunia pada 10 Julai manakala adiknya menghembuskan nafas terakhir keesokan harinya dengan kedua-dua selamat dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram