Budak 10 tahun maut keracunan makanan ketika bersama ibu di rumah di Sandakan


  • Primer
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Murid tahun 4 itu dilaporkan meninggal dunia dipercayai berpunca daripada keracunan makanan pada Khamis.

PIHAK berkuasa kesihatan Sabah sedang menyiasat kes kematian seorang budak lelaki yang disyaki akibat keracunan makanan di pantai timur daerah Sandakan, Sabah.

Ia selepas seorang seorang murid tahun 4 dilaporkan meninggal dunia dipercayai berpunca daripada keracunan makanan pada Khamis.

"Kami sedang menyiasat kes itu," kata Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Asits Sanna ringkas menerusi khidmat pesanan ringkas pada Jumaat.

BACA LAGI: Definisi kesalahan buli siber perlu jelas, elak disalah guna untuk kepentingan politik

BACA LAGI: Deklarasi Beijing bukan yang pertama, Fatah-Hamas sukar bersatu angkara kuasa dan provokasi

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, budak lelaki dikenali sebagai Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba, mengalami keracunan makanan ketika bersama ibunya di rumah mereka pada Selasa.

“Kejadian itu bukan berpunca daripada makanan di kantin sekolah kerana ia hanya melibatkan seorang murid dan dia mengalami keracunan makanan ketika bersama ibunya pada hari yang sama,” katanya sambil menambah dua beranak itu sudah dimasukkan ke hospital.

2235743

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Beliau berkata, pihak sekolah kemudiannya dimaklumkan melalui WhatsApp bahawa budak lelaki itu tidak dapat menghadiri kelas berikutan keadaan itu dan telah mendapat cuti sakit selama dua hari dari 23 hingga 24 Julai untuk berehat.

Bagaimanapun pada Khamis, beliau berkata, guru kelas itu dimaklumkan ahli keluarga budak lelaki itu bahawa dia tiba-tiba pengsan malam sebelumnya dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Kemudian pada pukul 7 pagi, guru itu dimaklumkan oleh bapa budak itu bahawa anaknya telah meninggal dunia.

“Guru besar serta beberapa orang guru kemudian berkunjung ke rumah keluarga mereka di Kampung Tinusa untuk memberi penghormatan pada tengah hari,” kata Raisin.

Setakat ini, katanya, perkara itu dalam siasatan pejabat kesihatan Sandakan.

Beliau menambah, sehingga Jumaat murid lain di sekolah itu tidak menunjukkan sebarang gejala keracunan makanan.

“Jabatan Pendidikan Sabah melalui Pejabat Pendidikan Sandakan akan membantu keluarga mangsa dengan tuntutan insurans takaful.

“Kami juga akan membuat laporan lengkap sebaik siasatan oleh pejabat kesihatan Sandakan selesai,” katanya. — The Star/DURIE RAINER FONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram