Pelajar diberi pilihan sambung pengajian di Malaysia atau kembali ke Bangladesh — Zambry


  • Primer
  • Isnin, 29 Jul 2024

Sebanyak 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar sudah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri pada 23 Julai lalu.

PELAJAR Malaysia yang dibawa pulang dari Bangladesh akan diberi pilihan untuk menyambung pengajian mereka di dalam negara atau kembali ke negara itu sekiranya keadaan kembali pulih.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sudah mengarahkan satu perbincangan lebih lanjut dilaksanakan bersama kumpulan pelajar terbabit mengenai segi hala tuju mereka.

BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya

BACA LAGI: Siasatan kapal selam Scorpene: SPRM jumpa petunjuk baharu

"Kita akan tengok bagaimana kedudukan mereka pada ketika ini, apa pilihan mereka kalau nak sambung (pengajian) di dalam negara.

"Bagaimanapun, kita nak kena tengok dari segi kelayakan, kedudukan dan subjek yang mereka ambil dan sebagainya.

"Kita mahu mereka diberi kaunseling atau berjumpa dengan pegawai kita untuk kita mengetahui kedudukan mereka," katanya.

2724670

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Makan Malam bersempena penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di Ipoh, Perak pada Ahad.

Zambry berkata, buat masa ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa memantau rapat perkembangan di Bangladesh bersama Wisma Putra sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Kita akan tengok sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak Wisma Putra seterusnya.

"Sebab apa pun yang kita hendak lakukan kita kena dapatkan maklum balas daripada Wisma Putra terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar sudah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.

Langkah itu dibuat susulan keadaan tegang yang berlaku di negara itu selepas ribuan pelajar mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lalu dan mengakibatkan lebih 130 nyawa terkorban.

Rusuhan itu merupakan bantahan terhadap keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram