SERAMAI 123 rakyat Malaysia, termasuk 80 pelajar selamat berlepas dari Bangladesh menaiki penerbangan khas AirAsia pada pukul 11.05 pagi waktu tempatan.
Menurut tinjauan Bernama, proses pemindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kelewatan akibat pelepasan imigresen yang perlahan.
Lapangan terbang di ibu negara Bangladesh itu dikawal ketat oleh tentera kerana perintah berkurung di seluruh negara.
BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air
BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang
Penerbangan terbabit merupakan sebahagian daripada misi memindahkan rakyat Malaysia dari Bangladesh yang diketuai Timbalan Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Tengah Kementerian Luar Datuk, Dr Shazelina Zainul Abidin.
Ia dijangka mengambil masa tiga jam 55 minit sebelum mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Kesemua mereka yang dibawa pulang itu termasuk 80 pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh. — Twitter/akmalazizan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka menyambut kedatangan rakyat Malaysia yang dipindahkan.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan membawa pulang semua rakyat Malaysia di Bangladesh berikutan kebimbangan keselamatan ekoran ketegangan semakin memuncak di negara itu.
Misi itu melibatkan 15 pegawai dari Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, dan Majlis Keselamatan Negara.
Ribuan pelajar di Bangladesh melakukan bantahan sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan semula kuota untuk pekerjaan sektor awam, yang dimansuhkan pada 2018.
Pada Sabtu, kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap protes maut yang telah meragut lebih 130 nyawa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram