Bawa pulang lebih 120 rakyat Malaysia, Wisma Putra maklum pelajar 'final year' dan pekerja antara yang pilih terus tinggal di Bangladesh


  • Primer
  • Selasa, 23 Jul 2024

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai, susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang dimansuhkan pada 2018.

WISMA Putra memaklumkan beberapa rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir dan mereka yang bekerja di Bangladesh, memutuskan terus kekal di negara tersebut.

“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin," menurut kenyataan pada Selasa itu.

BACA LAGI: KL bandar bahaya di Asia Tenggara, KDN teliti laporan Forbes Advisor — Saifuddin Nasution

BACA LAGI: Suspek ke-5 kes culik Albertine Leo direman 7 hari

Rakyat Malaysia

Seramai 123 rakyat Malaysia di Bangladesh selamat tiba di tanah air pada Selasa.

Kenyataan itu turut memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan rakyat Malaysia di negara itu mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.

Dalam perkembangan sama, seramai 123 rakyat Malaysia di Bangladesh yang menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang pada kira-kira pukul 5.10 petang ini (Selasa).

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan Putrajaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bangladesh atas kerjasama baik diberikan dalam memastikan proses membawa pulang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka menyelaraskan proses evakuasi dengan kerjasama yang rapat daripada kerajaan Bangladesh, menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.

Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai daripada Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai, susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang dimansuhkan pada 2018.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang mengorbankan lebih 130 nyawa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram