MISI membawa pulang 124 rakyat Malaysia termasuk pelajar di Dhaka, Bangladesh ke tanah air akan bermula pada Selasa.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan supaya perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu disegerakan.
"Perkara (rusuhan) ini tidak akan selesai dalam masa terdekat dan kita putuskan untuk bawa pulang rakyat Malaysia," katanya menerusi sidang akhbar di Putrajaya pada Isnin.
Menurutnya, penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia A330 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada pukul 10 pagi Selasa.
BACA LAGI : Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh
BACA LAGI : Pelajar Malaysia di Bangladesh dakwa tiada akses ke tempat perlindungan, terpaksa cari homestay selamat
Mohamad berkata, seramai 139 pelajar disahkan berada di Bangladesh dan 15 orang pelajar lagi telah selamat pulang.
"Setakat hari ini (Isnin) seramai 124 pelajar yang masih berada di sana cuma, seorang pelajar di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang kerana berada jauh dari tempat rusuhan dan Konsul Terhormat telah memberi jaminan keselamatan," katanya.
Situasi tegang yang semakin membimbangkan pelajar Malaysia di Bangladesh. — Agensi
Jelas beliau , setakat ini seramai 192 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) Dhaka.
"Angka tersebut akan bertambah kerana difahamkan masih ada yang belum berdaftar.
"Kami juga baru menerima makluman seramai 10 orang rakyat kita yang bekerja sebagai juruterbang bersama keluarga mereka berada di negara itu memohon untuk kembali ke tanah air dalam pelan evakuasi ini," katanya.
Demonstrasi yang berlangsung sejak 1 Julai itu menyaksikan 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam.
Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan penjawat awam akan dibuat berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta dengan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram