PROJEK Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bakal beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan.
Menurut laporan Buletin TV3, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek tersebut kini sudah siap 95.6 peratus.
Katanya, kerja fizikal pembinaan LRT3 itu bakal disiapkan pada Oktober 2024 sebelum proses pengintegrasian sistem dan ujian dilaksana yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.
BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya
BACA LAGI: Siasatan kapal selam Scorpene: SPRM jumpa petunjuk baharu
“(Pengoperasian) ini ada sedikit kelewatan berbanding dengan jadual asal pada Mac tahun depan. Kelewatan ini adalah kerana semasa pandemik Covid-19, ada banyak kerja yang tidak dapat dilaksana.
“Namun begitu, pihak Prasarana bersama dengan kontraktor dan semua pihak terlibat telah berusaha untuk mengejar kembali masa dan kita berjaya mengurangkan kelewatan itu,” katanya kepada media selepas meninjau projek LRT3 pada Isnin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Pada masa sama, Anthony memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju mengembalikan skop projek LRT3 dengan tambahan semula lima stesen iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja, dan Bandar Botanik.
Ujarnya, kos pengembalian skop projek LRT3 berjumlah RM3.8 bilion itu dijangka siap menjelang 2026.
“Kita juga akan buat pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak, pembesaran depot tren di Johan Setia, pembelian 150 bas pengantara elektrik dan pembinaan tiga depot bas,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram