'Bantu kami juga', peniaga Pasar Jawa Klang enggan terpinggir di sebalik pembangunan LRT3


  • Massa
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Pasar Jawa Klang memerlukan satu pembaharuan bagi membantu menaikkan semula imej di mata pengunjung.

KEMAJUAN yang semakin pesat membangun di kawasan sekitar bandar Klang, Selangor telah mengakibatkan segelintir kelompok peniaga tempatan di kawasan tersebut terkesan dengan situasi berkenaan yang mana menyaksikan perniagaan mereka dikatakan kurang mendapat sambutan kebelakangan ini.

Tambahan lagi, projek pembinaan laluan LRT3 yang sedang giat dijalankan di beberapa kawasan lembah Klang ketika ini, seakan-akan menyebabkan perniagaan kecil mereka tersisih daripada mata masyarakat.

Antara yang terkesan dengan situasi itu adalah peniaga di premis Pasar Jawa Klang yang terletak berdepan dengan pembinaan salah sebuah stesen perhentian projek berkenaan.

Meskipun ia dilihat sebagai salah satu perkembangan positif buat masyarakat di kawasan tersebut, namun bagi segelintir peniaga di Pasar Jawa Klang mereka menganggap ia sebagai situasi tersebut tidak adil kepada golongan peniaga kerana berasakan mereka tidak mendapat keistimewaan sama seperti kemajuan di situ.

Sehubungan itu, peniaga di kawasan tersebut menuntut satu transformasi yang membawa perubahan 'wajah' kepada perniagaan di situ agar seiring dengan pembangunan moden itu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Jawa Klang, Mohd Nasir Yahaya, 61, meminta agar pembaharuan turut diberikan kepada bangunan premis berkenaan yang dikatakan sudah beroperasi lebih sejak 50 tahun dahulu.

yahh

Mohd Nasir meluahkan beberapa isu dihadapi di premis tersebut.

Akur dengan pembangunan teknologi serta usaha kerajaan dalam memajukan sektor pengangkutan awam di Malaysia, Mohd Nasir berharap agar nasib peniaga tidak dipandang sepi oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, Pasar Jawa Klang yang berusia separuh abad itu diibaratkan sebagai lokasi ikonik kepada penduduk setempat kerana sudah menjadi nadi masyarakat di situ.

"Kami harap pihak berkuasa tidak mengabaikan golongan peniaga di Pasar Jawa Klang, kami sudah berniaga di sini lama dan lokasi yang terletak berdepan dengan stesen perhentian LRT3 sepatutnya memberi kelebihan kepada selaku peniaga.

"Perniagaan juga agak merudum sekarang tetapi ia bukan disebabkan projek LRT3, tetapi kegawatan ekonomi yang berlaku menjadi antara sebab utama dan diharapkan projek pembangunan itu bakal membawa perubahan kepada kami kelak.

"Mungkin pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga boleh bekerjasama untuk membantu menaikkan lagi imej kami sebagai peniaga lama di Klang," ujarnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga di premis berkenaan yang enggan identitinya didedahkan berkata, ketiadaan gerai makan menjadi punca mengapa jualan di situ semakin berkurangan kebelakangan ini.

Difahamkan, sebelum ini terdapat sebuah emporium makan yang terkenal dalam kalangan penduduk di Klang satu ketika dahulu, namun ia telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek LRT3 tersebut.

lrtt

Projek pembinaan laluan LRT3 sedang giat dijalankan di lembah Klang, Selangor. — Agensi

Turut menyuarakan keluhan nasib peniaga di situ, rata-ratanya kini sudah hilang punca pendapatan dan gagal meraih keuntungan sama seperti dahulu kala meskipun sudah beroperasi di lokasi lain.

"Dulu sini meriah sebab ada emporium makan depan Pasar Jawa Klang, jadi perniagaan kami bergerak seiring dengan pelancong yang datang untuk makan tetapi kini hanya kami yang ada di sini.

"Risau juga kami akan menerima nasib sama satu hari nanti, tapi kami mengharapkan agar ada gerai makanan yang baharu akan dibina nanti.

"Kalau ikutkan pada perjanjian dibuat sebelum ini, katanya akan ada emporium baharu, tetapi kita tunggu dan lihat sahaja," katanya.

Dengan kemajuan yang semakin membangun ketika ini, golongan peniaga seharusnya turut mendapat keistimewaan dengan penambahbaikan serta pembaharuan sewajarnya diterima oleh pihak berkenaan.

Bagi penduduk di lembah Klang, Pasar Jawa pastinya menjadi salah satu memori indah bagi golongan terdahulu yang gemar berkunjung ke situ dan diharapkan detik itu mampu dikembalikan satu hari nanti di samping nasib peniaga juga yang diharapkan akan terbela.

Untuk rekod, pembinaan LRT dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram