SEMUA stesen pengangkutan awam dikendalikan Prasarana dijangka lengkap sepenuhnya dengan teknologi sistem pembayaran terbuka menjelang Ogos 2025, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, perancangan untuk untuk melaksanakan sistem pembayaran tersebut yang meliputi keseluruhan laluan rel di Lembah Klang itu sudah mula dilakukan sejak awal 2023.
“Prasarana kini sedang memuktamadkan pelaksanaan merentasi laluan LRT Kelana Jaya, laluan LRT Ampang, laluan MRT Kajang, laluan MRT Putrajaya dan laluan monorel,” katanya di Parlimen pada Khamis.
“Fasa reka bentuk dan pembangunan sistem ini dijangka bermula pada Mac tahun depan.
“Prasarana akan mengambil masa 11 bulan, iaitu sehingga Februari 2025, untuk melengkapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada gantri di semua stesen untuk menerima sistem pembayaran terbuka.
“Menjelang Ogos 2025, gantri di semua stesen akan akan siap,” katanya.
Loke berkata, sistem pembayaran terbuka akan membolehkan penggunaan kad debit dan kredit sebagai kaedah pembayaran tambahan di samping kaedah sedia ada termasuk kad Touch 'n Go serta token.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sekiranya ada keperluan, kaedah pembayaran melalui kod QR juga akan dilaksanakan pada fasa seterusnya.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan mengenai pelaksanaan sistem pembayaran terbuka pengangkutan awam di Lembah Klang terutama dikendalikan Prasarana seperti sistem bas LRT, MRT dan RapidKL.
Dalam pada itu, Loke memaklumkan sistem kutipan tambang automatik rel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang juga hampir siap.
“Menjelang pertengahan November tahun ini, kesemua 57 stesen KTMB di Lembah Klang akan dilengkapi dengan pengimbas di gantri mereka.
“Ini akan menyokong pembayaran melalui kad kredit dan debit, Touch ‘n Go serta kaedah QR melalui aplikasi mudah alih KTMB,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Wong mengenai kemungkinan tawaran diskaun akan kepada pengguna pengangkutan awam yang menggunakan kaedah pembayaran terbuka, Loke berkata, pelaksanaan pemberian pas perjalanan bulanan tanpa had, My50 adalah mencukupi.
"Ini sangat murah dan saya berani katakan adalah pas bulanan paling murah di dunia," katanya sambil menambah bahawa kerajaan komited untuk meneruskannya dalam Belanjawan akan datang.
Mengenai koc wanita yang baru diperkenalkan di laluan MRT Kajang, Loke berkata, Prasarana menempatkan anggota polis rasmi dan bantuan untuk memastikan hanya wanita menggunakan koc tersebut.
"Saya rasa pematuhan adalah tinggi kerana pengguna akan meninggalkan koc sebaik sahaja mereka menyedari ia ditetapkan untuk wanita," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram