Platform media sosial, pesanan internet wajib mohon lesen mulai 2025


  • Massa
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Ogos ini.

PERKHIDMATAN media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Ogos ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, satu kerangka baharu akan diperkenalkan bagi melaksanakan inisiatif tersebut.

Katanya, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

BACA LAGI : 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli

BACA LAGI : Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

"Langkah itu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

"Sebelum ini, platform-platform terbabit sudah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000," katanya.

Tambah MCMC lagi, penguatkuasaan itu selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Menurutnya, kerangka pengawalseliaan baharu tersebut hanya terpakai kepada perkhidmatan yang memenuhi kriteria kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna perkhidmatan tersebut.

"Langkah ini akan mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan pengalaman pengguna yang lebih baik, terutamanya untuk kanak-kanak dan seisi keluarga," katanya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini menyeru platform media sosial dan pesanan dalam talian untuk lebih bertanggungjawab dan memastikan platform mereka bebas daripada elemen jenayah.

Kemudian pada Mac, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC sedang dalam proses memuktamadkan kerangka kerja untuk pelesenan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini.

Katanya, ia perlu dilaksanakan disebabkan oleh ketersediaan kandungan berbahaya pada platform media sosial dan perkhidmatan pesanan dalam talian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram