SEORANG wanita kemurungan yang hilang setelah keluar rumah di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya dekat Dungun, Terengganu sejak Isnin lalu akhirnya berjaya ditemui ahli keluarganya pada Khamis.
Memetik laporan Kosmo!, perkara tersebut disahkan anak sulung wanita berkenaan ketika dihubungi pada Jumaat.
Maisarah Zailan, 29, berkata, sewaktu ditemui pada pukul 12.45 tengah hari Khamis, ibunya, Salina Abdullah, 50, dalam keadaan baik dan sihat.
BACA LAGI : Ibu selalu tinggal pesan, tak pernah guna telefon pintar — Anak wanita murung hilang di Kerteh
BACA LAGI : Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim
"Kami sekeluarga bersyukur kerana mak saya ditemui dalam keadaan sihat dan selamat.
"Kami juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang amat prihatin dan berusaha membantu dalam usaha pencarian mak saya," katanya.
Bagaimanapun, Maisarah enggan mendedahkan lokasi ibunya ditemui demi menghormati privasi keluarganya.
"Saya minta maaf, sebab atas persetujuan bersama ahli keluarga, kami tidak dapat mendedahkan lokasi mak saya ditemui," ujarnya.
Sebelum ini, Salina yang menghidap kemurungan tahap dua tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah dengan memandu kenderaan pelbagai jenis, Perodua Alza berwarna putih dengan nombor plat W7115U pada pukul 4 petang, Isnin lalu.
Salina yang tidak menggunakan telefon bimbit juga tidak memberitahu kepada sesiapa tempat yang hendak dituju menyebabkan ahli keluarga sukar mengesan lokasinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram