YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Rayuan Putrajaya ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas, adalah tepat dan setimpal.
Badan pertubuhan kerajaan (NGO) itu turut tidak bersetuju dengan bantahan dibuat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas enam bekas penuntut UPNM itu.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia, lebih-lebih lagi ia dilakukan golongan terpelajar.
BACA LAGI: Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim
BACA LAGI: Kenapa sekarang, mana Suhakam ketika anak saya dibunuh dengan kejam 7 tahun lalu? — Ayah Zulfarhan
"Tindakan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah sesuatu perbuatan diharamkan dalam Islam.
"Hakim mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman itu walaupun kerajaan telah menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob
"Malah, sebahagian negeri di Amerika Syarikat masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh.
"Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya, perundangan dan amalan barat yang ternyata songsang dengan norma kehidupan manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Khamis, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
"Gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman," katanya.
Untuk rekod, hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut UPNM itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Ia diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram