Giv-Inc Hope agih 250 kalkulator saintifik bantu pelajar B40 di 11 sekolah di Sepang


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Sebahagian pelajar yang menerima bantuan kalkulator saintifik menerusi Program Giv-INC Hope: 1 Student 1 Calculator.

HARGANYA mungkin murah bagi kebanyakan orang, tetapi bagi golongan berpendapatan rendah (B40), mereka mungkin berfikir-fikir untuk membeli kalkulator saintifik walaupun bagi tujuan pembelajaran.

Tidak semua ibu bapa yang bernasib baik serta berkemampuan untuk mengeluarkan belanja antara RM20 hingga RM50 bagi memastikan anak-anak mereka memiliki kelengkapan yang mencukupi ketika di sekolah di sebalik usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD Sepang) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM Daerah Sepang) merapatkan jurang kesusahan yang dihadapi.

Seperti yang dihadapi segelintir pelajar di daerah Sepang, ada keluarga yang tidak berkemampuan membeli kalkulator saintifik untuk anak-kanak mereka.

BACA LAGI: 'Kita Pakai Balik' hasil cetusan kreatif pelajar UiTM Shah Alam

BACA LAGI: Hadiah ibu bapa cetus minat, kumpul kasut legenda bola sepak sejak masuk UiTM

Atas sebab itu, sekumpulan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kursus Komunikasi Antarapersonal tampil dengan inisiatif Program Giv-INC Hope: 1 Student 1 Calculator bagi meringankan beban keluarga dan pelajar yang terlibat.

Ideanya cukup mudah tapi memberi impak yang besar.

Dengan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Sepang Zon Sepang Utara, kumpulan mahasiswa ini mengumpul dan mengagihkan kalkulator kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di daerah tersebut yang memerlukannya.

Dalam fasa pertama program ini, sebanyak 250 kalkulator telah berjaya dikumpulkan dan akan diagihkan kepada 11 Sekolah Menengah di daerah Sepang.

Usaha murni ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang awam yang turut sama menyumbangkan kalkulator selain komitmen Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sepang, dan Persatuan Digital Internet Malaysia.

6134157796812373549

Pengarah Program Giv-INC Hope, Aly Idham Alykallam.

Mengulas lanjut tentang inisiatif ini, Pengarah Program Giv-INC Hope, Aly Idham Alykallam berkata, di daerah Sepang, terdapat banyak pelajar sekolah menengah yang menghadapi cabaran kewangan yang menghalang akses mereka kepada sumber pendidikan penting.

“Kalkulator saintifik memainkan peranan penting dalam pendidikan matematik, namun ramai pelajar tidak mempunyai akses kepada alat ini disebabkan kekangan kewangan.

“Diharapkan agar usaha murni ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang awam yang turut sama menyumbangkan kalkulator,” katanya pada majlis yang berlangsung di SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Jumaat.

Majlis pelancaran dan penyerahan kalkulator ini dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

6134157796812373454

Saifuddin (tiga dari kanan) ketika menghadiri Program Giv-INC Hope: 1 Student 1 Calculator anjuran pelajar UiTM.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya berharap program seumpama ini dapat diperluas lagi, bukan sahaja di peringkat Sepang malah di daerah-daerah lain.

“Sekiranya pihak penganjur berminat untuk mengembangkan lagi program ini di peringkat selangor, saya boleh memperkenal kepada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di peringkat negeri untuk memperluas Sepang sebagai daerah peneraju bagi program ini.

“Saya berpandangan Sepang dapat menjadi ‘kidstart’ peneraju untuk membantu mengumpulkan kalkulator saintifik terpakai dan juga baharu bagi membantu golongan murid sekolah yang tidak berkemampuan.

“Selangor tidak pernah mengabaikan isu seperti ini malah menjadikan pendidikan sebagai teras utama.

“Sebagai contoh, pada tahun ini sahaja, Selangor memperuntukkan hampir RM60 juta bagi membangunkan infrastruktur dan keselesaan di sekolah, “ katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram