Mangsa banjir Hulu Langat dapat kelengkapan sekolah percuma


  • Massa
  • Khamis, 30 Dis 2021

KEJADIAN banjir di beberapa negeri 18 Disember 2021 menyebabkan beberapa kawasan di Selangor termasuk Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam terjejas teruk.— The Star

NASIB mangsa banjir di kawasan Hulu Langat, Selangor terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Bersempena sekolah yang akan dibuka, beban menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak sedikit ringan, apabila pihak MCPlus Tution, menyumbang kelengkapan sekolah secara percuma kepada kira-kira 2,000 penduduk terjejas banjir.

Setiap keluarga diberikan kelengkapan sekolah bernilai RM150 sehingga RM200 untuk setiap anak-anak tanpa mengira jumlah anak-anak mereka.

Pengurus MCPlus Tution, Abd Ashraf Abd Rahman berkata tanggungjawab sosial ini sebagai membalas sokongan ibu bapa yang menggunakan khidmat tuisyen dalam talian mereka selama ini.

"Kami telah membuat hebahan beberapa hari lalu, hari ini mereka datang untuk menentukan saiz baju, Rabu mereka boleh datang untuk mengambil baju mereka," katanya di Hulu Langat pada Khamis.

Katanya selain pakaian, turut disumbangkan ialah alat tulis dan kalkulator.

Abd Ashraf berkata selain bantuan tersebut, pihaknya bersama 200 sukarelawan turut menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah penduduk terjejas.

"Kami juga telah mengagihkan dua treler bantuan barang keperluan seperti toto dan bantal beberapa hari lalu," katanya.

MCPlus Tution yang mempunyai 10 cawangan pusat tuisyen sebelum ini mula beralih kepada tuisyen dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan kini mempunyai 180,000 pelajar di seluruh negara.

Sementara itu, penerima bantuan Noor Hasnidah Hussin, 43, berkata, bantuan yang diberi sangat diperlukan memandangkan keluarganya kehilangan hampir kesemua harta benda dalam kejadian banjir 18 Disember 2021.

"Harta benda seperti perabot termasuk kelengkapan pembelajaran anak seperti laptop dan sebagainya semua rosak akibat banjir, bantuan kelengkapan sekolah ini amat saya syukuri," katanya yang menetap di Taman Sri Nanding.

Noor Hasnidah membawa empat anaknya untuk menerima bantuan baju sekolah tersebut.

Seorang lagi penduduk, Shahrizal Ismail, 39, yang membawa lima anaknya untuk mendapatkan bantuan kelengkapan tersebut berkata kerugian kira-kira RM50,000 dalam kejadian banjir amat memberi kesan kewangan kepada keluarganya.

"Saya amat gembira, sekurang-kurangnya ada pihak prihatin untuk membantu kami menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak," katanya yang juga seorang peniaga kedai makan.

Menurut Shahrizal, beliau kini bergantung kepada simpanan sendiri untuk memulakan semula perniagaannya yang turut terjejas.

Kejadian banjir di beberapa negeri 18 Disember 2021 menyebabkan beberapa kawasan di Selangor termasuk Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam terjejas teruk.

Disifatkan antara bencana banjir terburuk dalam sejarah, selain menyaksikan kemusnahan harta benda ia turut menyebabkan 48 nyawa terkorban dan lima lagi masih hilang setakat ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram