Tak sempat ganti puasa? Empat situasi ini umat Islam perlu qada atau bayar fidyah


  • Mukmin
  • Khamis, 24 Mac 2022

UMAT Islam akan berbuka dengan pelbagai juadah apabila tiba Ramadan. — Gambar hiasan

KURANG dari dua minggu sahaja lagi bulan Syaaban bakal berakhir, manakala Ramadan pula bakal menjelma.

Ini menandakan umat Islam bakal menunaikan Rukun Islam yang ketiga iaitu melaksanakan ibadah puasa sebulan.

Seperti kebiasaannya, terdapat segelintir umat Islam yang mungkin masih lagi tidak mengganti atau mengqada puasa yang ditinggalkan pada tahun lalu disebabkan datang bulan, keuzuran atau sebab-sebab tertentu.

Dalam hal ini, mereka perlu membayar denda atau fidyah, sekiranya ibadah itu tidak sempat dilakukan sebelum tibanya bulan Ramadan tahun ini.

Walaupun perkara ini kerap kali dibicarakan setiap kali Ramadan menghampiri, namun masih terdapat segelintir pihak yang masih keliru sama ada mereka hanya perlu mengqada puasa, membayar fidyah ataupun melakukan kedua-duanya sekali.

Memperincikan perkara itu, Hamizul Abdul Hamid memberi contoh situasi yang mana seorang perempuan mengalami datang bulan bagi tempoh tujuh hari pada 2020.

Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor itu berkata, perempuan tersebut sepatutnya perlu qada puasa setelah tamat bulan Ramadan pada tahun sama dan sebelum masuk bulan Ramadan pada tahun 2021.

KAUM wanita antara golongan yang akan meninggalkan ibadah puasa buat beberapa hari pada bulan Ramadan akibat datang bulan. — Gambar hiasan

Beliau berkata, sekiranya perempuan tersebut tidak qada puasa sehingga bulan Ramadan 2021, maka dia wajib qada ibadah itu setelah tamat hari raya pada tahun tersebut

"Tujuh hari dia tak qada sebelum itu dan dia perlu bayar fidyah bersamaan tujuh cupak.

"Walaupun dia dah qada tujuh hari, tetapi dia qada lambat. Kalau dia qada pada 2020 sebelum masuk (Ramadan) 2021, maka dia hanya kena qada sahaja.

"Jika dah masuk Ramadan tahun yang baru, dia kena melakukan dua-dua iaitu kena qada dan fidyah," katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam segmen Salam Bros di radio Zayan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hamizul berkata, individu yang perlu membayar fidyah sahaja tanpa wajib mengqada puasa adalah bagi mereka yang tidak mampu menunaikan ibadah tersebut.

Mereka terdiri daripada:

1. Orang tua yang terlalu uzur dan lanjut usia. Jika dia berpuasa, berkemungkinan akan memudaratkan dirinya. Ahli keluarga disarankan untuk tidak memaksa warga emas itu untuk berpuasa.

2. Orang yang sakit dan tidak kelihatan akan segera sembuh atau tidak sembuh dan tidak ada harapan sembuh. Contoh orang yang sakit seperti kanser tahap 4.

3. Orang yang mengalami gastrik. Individu seperti ini perlu berjumpa doktor untuk memastikan sama ada tahap gastrik yang dialami itu tidak membolehkannya berpuasa. Biar pihak berwajib mengesahkan dia boleh puasa atau tidak.

4. Perempuan mengandung dan menyusukan anak kerana bimbang keselamatan anak dalam kandungan atau bayi yang disusukan. Sekiranya perempuan itu bimbang akan keselamatan dirinya, mereka hanya wajib qada puasa.

Justeru, jangan sesekali memandang ringan amalan qada dan membayar fidyah puasa ini kerana ia amat dituntut oleh Islam dan haram hukumnya bagi mereka meninggalkan amalan itu tanpa keuzuran.

Malah, ahli keluarga atau wali kepada si mati perlu mengqada puasa individu berkenaan jika dia cuai atau dengan sengaja meninggalkan puasa sedangkan dia mampu melakukan ibadah itu.

Turut disebut dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya? Baginda menjawab: Ya, hutang Allah lebih patut ditunaikan,”[HR al-Bukhari (1852) dan Muslim (1148)]

Ketika ini tidak sukar lagi untuk mengira bagaimana membayar fidyah atau denda menggantikan puasa kerana di laman-laman web pusat pungutan zakat turut disediakan kalkulator bagi memudahkan semua pihak membuat pengiraan dan seterusnya melunaskan hutang mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram