Yusri tidak jemu-jemu buat congakan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 29 Nov 2023

Yusri pastinya mengharapkan kedudukan skuad TBG mampu ditambah baik meskipun mengetahui ia satu misi sukar. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

YUSRI Che Lah mengakui dia bukan pun seorang pakar matematik tapi kemampuannya mencongak cukup untuknya membuat perkiraan di tangga mana Perak FC kendaliannya diharapkan berada apabila Liga Super musim 2023 melabuhkan tirainya dengan berbaki hanya dua perlawanan.

Tangga kesembilan sebelum aksi menentang Selangor FC, Ahad lalu, padanya adalah ideal dengan mengisi kelompok 10 teratas tapi kekalahan 0-4 dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu menyaksikan The Bos Gaurus (TBG) melurut dua anak tangga ke tempat ke-11 kini.

Barangkali sedikit sagu hati buatnya ialah Perak FC tidak akan melurut ke tangga lebih rendah lagi kerana Kelantan United yang berada di bawah mereka dengan perbezaan lapan mata tidak lagi mampu memintas.

Di tangga ke-11 dengan 22 mata ketika ini, Perak FC cuma berbaki dua perlawanan menentang Sabah FC di Ipoh, Ahad ini, sebelum menutup tirai dengan berkunjung ke Kuala Terengganu pada 17 Disember.

401250132_356777350235980_7355229179269901372_n

Yusri berjaya menyuntik semangat berpasukan dan kerjasama dalam skuad TBG. Facebook/Perak FC

Dengan dua pasukan di atas mereka, Negeri Sembilan FC dan Penang FC di tangga kesembilan dan ke-10, masing-masing dengan 24 dan 23 mata, Yusri tidak pun memerlukan kalkulator untuk menghitung jumlah mata yang diperlukan untuk terus menyaingi kedua-duanya.

Sebagai perbandingan, Negeri Sembilan dilihat berkelebihan kerana akan menentang Kelantan United (A) dan Kuching City FC (H) dalam dua perlawanan terakhirnya sambil Penang FC harus berdepan azab menghadapi Terengganu FC (H) dan perlu berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk menyerahkan leher kepada JDT.

Di atas kertas, Perak FC, andai berbekalkan enam mata maksimum daripada dua perlawanan terakhirnya, masih berpeluang kembali ke tangga kesembilan yang dicita-citakannya atau sekurang-kurangnya tangga ke-10 yang rata-rata masih dianggap satu peningkatan bermakna.

Yusri tidak ingat kedudukan skuad Seladang ketika mengambil alih daripada Datuk Lim Teong Kim sejak 25 Mei lalu, sebaliknya lebih mensyukuri sejumlah 13 mata yang diraih di bawah kendaliannya sebagai ukuran Perak FC sudah banyak meniti peningkatan.

“Pengurusan nakkan tangga kesembilan. Seboleh-bolehnya saya juga nak kedudukan itu,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Datuk_Lim_Teong_Kim

Yusri dibawa masuk untuk menggantikan Teong Kim yang direhatkan pertengahan musim lalu.

“Tapi kami kena realistik dengan kemampuan pasukan bersandarkan kepada pemain-pemain yang kami ada.

“Kita perlu melihat kepada kualiti pemain dengan keputusan yang dicapai. Apa yang menarik, dari bawah Perak FC telah meningkat sedikit demi sedikit.

“Bagi saya, ini satu kejayaan buat pemain-pemain sendiri (setelah berjaya meraih 13 mata sejak dia mengambil alih sebagai ketua jurulatih di samping mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia),” tambahnya.

Yusri sendiri sudah melalui laluan yang panjang dan berliku. Empat perlawanan awal diperlukannya – tewas 0-3 kepada Terengganu FC dan Kedah FC, tewas 1-3 kepada PDRM FC dan seri 1-1 dengan Kelantan United – sebelum dapat mengecap kemenangan sulung dengan menundukkan Kuching City FC 2-1 di tempat lawan pada 16 Julai.

Dengan ketekunan dan kesabarannya, dia bukan sekadar berupaya menyuntik semangat sepasukan yang jitu dalam kalangan pemain-pemainnya, malah berhasil membuat mereka percaya kepada kemampuan diri sendiri dan tidak mudah berasa kerdil ketika berdepan lawan lebih ternama dan bereputasi besar.

405191576_358776410036074_3978823717995987384_n

Kekalahan kepada Selangor FC menyaksikan skuad TBG kembali jatuh ke tangga ke-11 Liga Super. Facebook/Perak FC

Berbekalkan semangat serta kegigihan berusaha tanpa mudah berputus asa, Yusri turut mampu mengerah yang terbaik daripada setiap pemainnya yang beransur-ansur mengikis tanggapan ‘budak belasahan’ yang melingkari mereka sebelumnya.

Lebih daripada semua itu, jurulatih berusia 47 tahun itu sudah dapat mengembalikan keseronokan penyokong untuk bersama-samanya mendorong Perak FC mendaki anak-anak tangga peningkatan tanpa mereka dituntut untuk melakukan keajaiban.

Padanya, apa yang sudah diharungi musim ini hanyalah langkah mula, dengan fokusnya sudah pun beralih untuk Perak FC memuncakkan cabaran musim depan.

Seperkara yang diakuinya ialah skuad TBG masih kekurangan pemain di samping perlukan penambahbaikan di posisi tertentu untuk membolehkan mereka benar-benar bersaing dengan pencabar utama.

“Saingan tahun depan akan lebih kompetitif dan jangkaan peminat juga akan lebih tinggi selepas apa yang kami tunjukkan musim ini. Kerana itu juga, fokus saya ialah untuk kuatkan pasukan musim depan,” katanya.

Yusri-Che-Lah-2

Yusri boleh diangkat sebagai faktor utama di sebalik kebangkitan skuad TBG musim ini.

Yusri turut memanfaatkan tempoh rehat liga dengan kunjungan untuk perlawanan persahabatan di Borneo baru-baru ini untuk menguji pemain – setiap seorang diturunkan beraksi sekurang-kurangnya 60 minit.

“Dari situ saya berpeluang menilai apa kekurangan yang kami ada dan mengukur keupayaan pemain-pemain yang mahu kami kekalkan,” tambahnya.

Jurulatih itu juga sudah memiliki perancangan pemain-pemain yang ingin dibawa masuk untuk memperkuat pasukan.

“Dalam kepala saya dah ada. Saya akan buat cadangan kepada pengurusan dan kesudahannya terserahlah kepada bajet pasukan dan kesediaan pemain-pemain yang kami inginkan,” katanya.

Dia enggan membayangkan pemain buruannya tetapi media sosial penyokong Perak membuat spekulasi bekas pertahanan kebangsaan, Fadhli Shas, dan Sergio Aguero – kedua-duanya bersama Sri Pahang FC – sebagai antara yang diintai.

“Biar kami habiskan dulu dua perlawanan terakhir musim ini. Ia penting untuk kami terus ubah persepsi terhadap pasukan ini. Sebagai jurulatih, tentunya saya inginkan yang lebih baik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram