SEPASANG suami isteri maut manakala dua lagi individu dipercayai anak perempuan mereka cedera parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di susur persimpangan lampu isyarat Batu 3, Jalan Lipis di Kilometer 350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, Raub, Pahang pada Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira pukul 10.20 malam ketika kereta jenis Proton Wira berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah susur keluar Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) Raub menghala ke Dong.
"Setiba lokasi kejadian, ketika kereta terbabit meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar kepada warna hijau, tiba-tiba datang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah Lipis menghala ke Raub lalu melanggar sisi kanan Proton Wira itu.
Bomba menggunakan peralatan hidraulik khas dan membuat rawatan awal terhadap mangsa terlibat.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira bersama isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak pasangan terbabit yang berumur 15 dan 20 tahun pula cedera. Pemandu Toyota Hilux terbabit juga mengalami kecederaan," katanya.
Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raub untuk menerima rawatan lanjut.
Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan kenderaan pacuan empat roda itu melanggar lampu isyarat merah di tempat kejadian.
"Pemandu Toyota Hilux itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan anggota dari BBP Raub dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Maklum kenyataan itu, pasukan bomba menggunakan peralatan hidraulik khas dan membuat rawatan awal terhadap mangsa terlibat.
Ujarnya, mangsa yang mengalami kecederaan juga diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Raub.
Kes itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram