Definisi kesalahan buli siber perlu jelas, elak disalah guna untuk kepentingan politik


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Jenayah di media sosial turut melibatkan buli siber yang boleh membawa kepada ugutan dan ancaman membahayakan nyawa. — Gambar hiasan

SEJAK beberapa tahun lalu, jenayah dalam talian semakin meningkat dan menjadi isu utama membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Daripada penipuan kewangan melibatkan jutaan ringgit sehingga buli siber yang membawa kepada ugutan dan ancaman, impaknya terhadap masyarakat dilaporkan semakin meluas dan tidak boleh diambil mudah.

Perkara itu turut diakui oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang melahirkan kebimbangan berhubung masalah tersebut.

BACA LAGI: Deklarasi Beijing bukan yang pertama, Fatah-Hamas sukar bersatu angkara kuasa dan provokasi

BACA LAGI: Deklarasi Beijing langkah penting capai hak, kebebasan rakyat Palestin — PM Anwar

Beliau dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, trend terkini juga menyaksikan jenayah tradisional kini sudah mula berpindah ke alam maya termasuk media sosial.

Sementara itu, antara yang menjadi tumpuan tentunya adalah mengenai kes jenayah buli siber yang baru-baru ini dilaporkan turut meragut nyawa seorang pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.

Untuk rekod, Esha ditemui meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

6129559089429201660

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Apa yang lebih menyedihkan dalam kes tersebut, pemilik rumah kebajikan P. Shalini yang dikaitkan dengan kematian Esha, bagaimanapun hanya dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret pada 16 Julali lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Susulan daripada itu, Fahmi pada 18 Julai lalu di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani insiden buli siber.

Pada masa sama, Fahmi dalam kenyataan berasingan berkata, Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan terhadap beberapa platform media sosial susulan beberapa insiden buli siber yang berlaku sebelum ini.

Menurutnya, tindakan itu bakal dilaksanakan selepas perbincangan bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Jelasnya, langkah berkenaan merupakan antara usaha terbaharu diambil bagi menangani masalah tersebut selain kesediaan kerajaan bagi menggubal undang-undang sedia ada.

Pensyarah kanan Pengajian Media dan Komunikasi Taylor's University, Benjamin Loh Yew Hoong berkata, beliau secara umumnya bersetuju terhadap langkah kerajaan bagi meningkatkan pemantauan khususnya terhadap platform media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha terbabit yang meliputi langkah penggubalan undang-undang sedia ada itu seharusnya dilaksanakan dengan cermat supaya ia kekal melindungi kebebasan bersuara dan berpendapat rakyat di dalam negara.

Yew Hoong berkata, antara kebimbangan utama timbul dalam perubahan tersebut adalah mengenai kemungkinan penyalahgunaan undang-undang baharu oleh pihak tertentu termasuk kerajaan sebagai alat bagi menyekat kritikan terhadap kerajaan.

6129559089429201661

Esha ditemui meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

"Pada ketika ini, terdapat banyak undang-undang memberikan kuasa mutlak kepada pihak kerajaan untuk mengawal dan menyekat kebebasan bersuara dan media dalam bentuk 'budi bicara' di mana tiada ketelusan dan akauntabiliti.

"Banyak juga contoh berlaku sebelum ini di mana undang-undang sedia ada digunakan untuk menghukum sesiapa yang mengkritik kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting supaya pindaan baharu yang dibuat itu dilaksanakan lebih terperinci dan menyeluruh khususnya dalam menetapkan definisi sebenar kesalahan yang termasuk di bawah undang-undang tersebut.

Ujarnya, perkara itu penting untuk diperhatikan untuk memastikan undang-undang terbabit tidak terdedah kepada pentafsiran yang terlalu longgar sehingga memberi ruang kepada penyalahgunaannya.

"Bagi saya, ia boleh dibendung jika definisi dan bahasa digunakan adalah tetap, jelas dan tidak boleh disalah tafsir mengikut budi bicara kerajaan.

"Ini akan memastikan yang ia hanya boleh digunakan untuk perbuatan jenayah tertentu termasuk kesalahan seperti buli siber dan mengelak daripada ia disalahgunakan untuk tujuan politik," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram