Ramai pertikai denda RM100 tak setimpal, peguam jelas kes buli siber sebenarnya boleh dituduh ikut 5 lagi seksyen


  • Massa
  • Khamis, 18 Jul 2024

Tingkah laku wanita terbabit yang keluar dari mahkamah dengan wajah angkuh menyebabkan lebih ramai lagi yang sakit hati dengan keputusan tersebut.

MAHKAMAH Majistret pada Selasa menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100 ke atas seorang wanita yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.

Pengendali rumah jagaan swasta, Shalini Periasamy didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 kerana sengaja mengeluarkan kata-kata kesat dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman melalui akaun TikToknya @Alphaquinnsha.

Hukuman itu bagaimanapun telah mencetuskan ketidakpuasan hati banyak pihak yang beranggapan jumlah tersebut tidak setimpal dengan kesalahannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Influencer wanita retak tulang belakang dirempuh kereta ketika 'live' di China

BACA LAGI: Teman wanita dakwa dibelasah pelakon lelaki kontroversi berbadan sado dalam SUV pagi-pagi buta di Ara Damansara

Apatah lagi, tingkah laku wanita terbabit yang keluar dari mahkamah dengan wajah angkuh menyebabkan lebih ramai lagi yang sakit hati dengan keputusan tersebut.

Sementara itu, peguam, Suzana Norlihan Alias menjelaskan, hukuman itu adalah denda maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

"Sebab itulah dia hanya didenda sebanyak RM100, jumlah tersebut adalah denda maksimum jika sabit kesalahan," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut berkata, selain Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, kes buli siber seperti itu sebenarnya boleh dituduh mengikut lima lagi seksyen.

Menurutnya, ia termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233 (Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998) serta Seksyen 507, Seksyen 507A dan Seksyen 509 kanun keseksaan.

"Kes melibatkan buli siber boleh disiasat di bawah seksyen di atas, namun itu juga bergantung kepada laporan polis.

"Polis mempunyai budi bicara untuk menjalankan siasatan jika ia melibatkan kematian," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 20.35.45

Dari kiri: Muhammad Akram, Suzana

Dalam pada itu, peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berpandangan, hukuman yang dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang tersebut mungkin sudah tidak efektif dalam memberikan impak atau pengajaran terhadap pesalah laku buli siber.

Jelasnya, ini kerana ia hanya melibatkan jumlah denda yang amat kecil dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dibuat terhadap mangsa.

Ujarnya lagi, buat masa ini tiada akta spesifik berkenaan buli siber namun kesalahan seperti itu bukanlah tidak boleh dihukum dengan lebih berat.

"Bergantung kepada fakta kes, kadangkala pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan undang-undang seperti Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 233 Akta yang sama atau Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang memberi hukuman denda yang lebih tinggi dan/atau penjara.

"Seksyen-seksyen ini walaupun tidak menyatakan secara spesifik berkenaan buli siber, namun elemen-elemen kesalahan yang dinyatakan dalam seksyen-seksyen tersebut boleh diguna pakai dalam kes buli siber," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 20.19.35

Hukuman yang dikenakan ke atas wanita yang dikaitkan dengan kematian Esha mencetuskan ketidakpuasan hati banyak pihak.

Bagaimanapun, Muhammad Akram menambah, dengan mengambil kira peredaran zaman dan kemajuan teknologi, sudah tiba masanya undang-undang juga diperbaharui dan ditambahbaik untuk menyekat dan menghukum kesalahan yang mungkin tidak wujud sebelum ini, seperti buli siber.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang sahaja bukanlah satu remedi yang boleh menghalang buli siber secara 100 peratus.

"Isu ini berbalik kepada masalah individu dan masyarakat itu sendiri, mungkin ia timbul kerana teknologi siber kita di kelas atas, tetapi mentaliti kita masih di kelas bawahan.

"Agak menyedihkan kerana masyarakat di Malaysia ini (majoritinya) mengamalkan budaya dan adat ketimuran, malah ramai yang mempunyai latar belakang agama (tidak kiralah agama apa pun) yang menyeru penganutnya berbuat baik dan menghindari kejahatan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram