Deklarasi Beijing langkah penting capai hak, kebebasan rakyat Palestin — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 23 Jul 2024

Wang Yi (tengah) ketika menyaksikan rundingan perdamaian antara beberapa kumpulan politik Palestin di Beijing pada Selasa. — AFP

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perjanjian antara Fatah dan Hamas yang dimeterai di Beijing, China pada Selasa bagi memperkukuh solidariti dalam kalangan rakyat Palestin.

Anwar berkata, Deklarasi Beijing itu menyaksikan satu langkah positif ke arah mencapai perpaduan dan amat penting terutama dalam merealisasikan hak rakyat Palestin.

Beliau turut memuji kerajaan China kerana memudahkan pertemuan serta perbincangan antara Fatah, Hamas dan 12 kumpulan politik lain yang membentuk perjuangan Palestin.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

"Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dengan mengambil kira kepentingan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, Anwar turut menggesa kerajaan di seluruh dunia yang belum berbuat demikian untuk segera memperakukan Negara Palestin selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan tersebut.

Tegasnya, kesemua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadap Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan.

Pada masa sama, beliau juga berkata, Malaysia bersedia untuk mencurahkan tenaga serta keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan.

Menurut laporan agensi Agensi Anadolu, Menteri Luar China, Wang Yi mengumumkan bahawa kumpulan-kumpulan politik di Palestin berjanji untuk menamatkan perpecahan semasa rundingan perdamaian mereka di Beijing.

Wang turut memuji Deklarasi Beijing yang ditandatangani oleh kumpulan terbabit untuk membentuk Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara bagi mentadbir Gaza selepas perang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram