Deklarasi Beijing bukan yang pertama, Fatah-Hamas sukar bersatu angkara kuasa dan provokasi


  • Benua
  • Khamis, 25 Jul 2024

Terdapat sebanyak 14 kumpulan Palestin yang terlibat dalam rundingan tersebut yang objektifnya antara lain untuk menamatkan perpecahan dan pengukuhan perpaduan di wilayah itu. — Agensi

KRISIS di Palestin menunjukkan perkembangan baharu pada Ahad selepas dua kumpulan politik terbesar di wilayah bergolak itu, Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian bagi mengakhiri konflik antara kedua-dua pihak tersebut.

Perjanjian itu yang dikenali sebagai Deklarasi Beijing adalah mengambil bersempena dengan tempat dan negara ia dijalankan iaitu di ibu negara China, Beijing.

Rundingan damai yang diusahakan oleh Menteri Luar Luar China, Wang Yi menyaksikan wakil daripada dua kumpulan terbabit bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara termasuk dengan beberapa kelompok lain di Palestin.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Terdapat sebanyak 14 kumpulan Palestin yang terlibat dalam rundingan tersebut yang objektifnya antara lain untuk menamatkan perpecahan dan pengukuhan perpaduan di wilayah itu.

Ia merupakan langkah terbaharu untuk memulihkan usaha membentuk kerajaan antara Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang ketika ini masing-masing dikuasai oleh Fatah dan Hamas.

Susulan daripada perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia sebagai satu langkah positif ke arah mencapai perpaduan dan amat penting terutama dalam merealisasikan hak rakyat Palestin.

Beliau turut memuji kerajaan China kerana memudahkan pertemuan serta perbincangan antara Fatah, Hamas dan 12 kumpulan politik lain yang membentuk perjuangan Palestin.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks during a press conference after special meeting on ' Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022' at the prime office in Putrajaya . (27/11/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bagaimanapun, di sebalik beberapa sambutan positif dikongsikan susulan perjanjian tersebut, beberapa pemerhati turut bersikap kritikal terhadap hasil yang berkemungkinan tercapai daripada usaha tersebut.

Ini kerana menurut mereka, ia bukanlah kali pertama kedua-dua kumpulan itu terlibat dalam rundingan perdamaian selepas meletusnya konflik antara mereka sejak 2006.

Deklarasi Kaherah 2005

Deklarasi Kaherah yang ditandatangani pada 19 Mac 2005 merupakan satu perjanjian yang ditandatangani oleh dua belas kumpulan Palestin termasuk Fatah, Hamas, Jihad Islam, Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) dan Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP).

Antara perkara penting yang diputuskan adalah menjadikan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menjadi satu-satunya wakil rakyat Palestin dengan ia disertai oleh semua kumpulan yang berada di Palestin berlandaskan prinsip demokrasi.

Pada masa sama, Deklarasi terbabit turut membayangkan pembaharuan terhadap keanggotaan PLO yang akan antara lain menerima Hamas sebagai ahli.

Untuk rekod, beberapa negara berpengaruh termasuk Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan Hamas yang memiliki sayap ketenteraan sebagai pertubuhan pengganas antarabangsa.

23263

Hamas terus menjadi kerajaan de-facto di Gaza. — Agensi

Pilihan raya legislatif yang diadakan 25 Januari 2006 menyaksikan Hamas memperoleh kemenangan besar dan membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Fatah dan beberapa faksi lain di Palestin enggan menyertai kerajaan yang dibentuk oleh pemimpin Hamas disebabkan beberapa isu utama termasuk sekatan ekonomi daripada negara luar dan pendirian terhadap status Israel.

Pada masa sama, kedua-dua pihak itu gagal untuk bekerjasama kerana perbezaan pendekatan politik dengan Hamas dilihat lebih cenderung kepada perjuangan bersenjata manakala Fatah pula lebih condong ke arah rundingan.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Hamas dan Parlimen sebaliknya telah diboikot dengan bantuan kewangan antarabangsa kemudiannya diberikan secara langsung kepada Fatah tanpa melalui Kerajaan Palestin.

Disebabkan kegagalan kerjasama Fatah dan Hamas, Parlimen gagal berfungsi dan Kerajaan Palestin terus mengalami masalah kewangan.

Kemuncak kepada konflik tersebut kemudiannya memuncak sehingga membawa kepada pertempuran bersenjata antara kedua-dua pihak dan berakhir kepada pemisahan pentadbiran antara Gaza yang dikuasai Hamas dan Tebing Barat yang diperintah oleh Fatah.

Perjanjian Fatah–Hamas Makkah 2007

Perjanjian Fatah-Hamas Makkah 2007 yang ditandatangani pada 8 Februari 2007 menyaksikan kedua-dua kumpulan itu bersetuju untuk menghentikan konfrontasi ketenteraan di Gaza dan memulakan pembentukan kerajaan perpaduan.

Rundingan itu menyaksikan kehadiran wakil daripada Fatah iaitu Mahmoud Abas yang juga Presiden Kerajaan Palestin dan wakil Hamas, Ismail Haniya yang merupakan Perdana Menteri Palestin.

Perjanjian itu bagaimanapun gagal untuk menyatukan Kerajaan Palestin dan Pentadbiran Hamas di Gaza.

Perebutan kuasa politik dikatakan sebagai punca utama perjanjian itu gagal bertahan.

Deklarasi Sana'a 2008

Pada 23 Mac 2008, Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian damai di Sana'a, Yaman susulan kegagalan Perjanjian Makkah.

Isi kandungan rundingan itu menyeru supaya Semenanjung Gaza dikembalikan kepada keadaan sebelum Jun 2007.

Pada 8 November 2008, rundingan perdamaian Palestin yang akan sepatutnya dijadualkan di Kairo dibatalkan selepas Hamas mengumumkan boikot sebagai protes terhadap penahanan ratusan anggotanya oleh pasukan keselamatan pihak Kerajaan Palestin yang diketuai Fatah.

Perjanjian Fatah–Hamas Doha dan Perjanjian Kaherah 2012

RTR2XEJN

Rundingan yang berlangsung di Doha pada 2012

Kebuntuan yang berlaku seterusnya membawa kepada dua lagi perjanjian yang masing-masing diadakan di Doha dan Kaherah pada 2012.

Namun, kedua-dua rundingan itu gagal untuk membawa kepada berlangsungnya pilihan raya bersama.

Pilihan raya tempatan pada Oktober 2012 yang berlangsung di Palestin dilaksanakan tanpa disertai penduduk Gaza selepas Hamas mengambil pendirian untuk tidak menyertainya.

Perjanjian Gaza dan Kaherah 2014

Pada 23 April 2014, Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian perdamaian baharu, yang akan menyaksikan kerajaan perpaduan dibentuk dalam tempoh lima minggu, diikuti dengan pilihan raya presiden dan Parlimen dalam tempoh 6 bulan.

Pada 2 Jun 2014, Presiden Abbas mengangkat sumpah dalam kerajaan perpaduan baharu diketuai oleh penyandang Perdana Menteri, Rami Hamdallah.

Perdana Menteri Israel ketika itu, Benjamin Netanyahu berkata, pemimpin dunia tidak seharusnya tergesa-gesa mengiktiraf kerajaan baharu terbabit dan turut menyerang Hamas dengan menggelarnya sebagai organisasi pengganas yang mahu memusnahkan Israel.

Pejabat Perdana Menteri Palestin kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengecam kata-kata Netanyahu sebagai bertujuan untuk meneruskan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Sebagai tindak balas, Israel menghentikan rundingan damai terbabit dan mengumumkan sekatan baharu.

Rundingan rahsia di Doha 2016

Pada Disember 2015 dan sekitar Januari serta Februari 2016, Hamas dan Fatah secara rahsia mengadakan rundingan yang diusahakan kerajaan Qatar di Doha untuk menghidupkan dan menjalankan perjanjian 2014.

Hamas kemudiannya mengeluarkan kenyataan ringkas pada 8 Februari, mengatakan kedua-dua pihak mencapai visi praktikal penyelesaian untuk dibincangkan dan dilaksanakan.

gov-qatar

Qatar menjadi antara negara yang aktif menjadi pihak yang mengusahakan rundingan untuk kedua-dua pihak. — Agensi

Bagaimanapun, wakil Fatah mengeluarkan kenyataan provokasi yang meminta dan mengancam Hamas untuk menyerahkan Semenanjung Gaza.

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua pihak gagal menemui penyelesaian terbaik dalam rundingan tersebut.

Rundingan Fatah-Hamas Kaherah 2017

Pada 12 Oktober 2017, satu rundingan perjanjian antara Fatah dan Hamas yang dianjurkan di bawah tekanan dari Qatar, UAE dan Mesir, telah ditandatangani di Kaherah.

Dalam perjanjian itu, ditetapkan Hamas memberi Fatah kawalan awam sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza, dan sebagai balasan, sekatan ekonomi Gaza akan dilonggarkan.

Sehingga Januari 2018, kedua-dua pihak gagal memenuhi perjanjian mengikut tarikh yang ditetapkan ekoran daripada beberapa ketetapan yang kurang dipersetujui.

Isu yang paling menjadi pertikaian adalah berhubung penggunaan senjata kumpulan pejuang di Gaza.

Hamas mengambil pendirian pihaknya tidak akan menerima ketetapan yang memerlukannya untuk menyerahkan senjata sementara di pihak Kerajaan Palestin pimpinan Mahmoud pula mahu mendapat kawalan penuh terhadap senjata di Gaza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram