Tunjuk RM2.50 tapi jual RM3, peniaga di Teluk Intan terima padah tipu harga minyak peket


  • 112
  • Khamis, 18 Jul 2024

Harga yang dipamerkan pemilik premis berbeza dengan harga perlu dibayar oleh pelanggan sebuah kedai runcit di Teluk Intan, Perak. — KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan tindakan terhadap sebuah pemilik kedai runcit di Teluk Intan, Perak selepas didapati menjual barang kawalan minyak masak peket 1 kilogram (kg) bersubsidi melebihi harga ditetapkan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamallusin Ismail berkata, pemilik tersebut mempamerkan harga minyak tersebut RM2.50 sepeket tetapi mengenakan bayaran kepada pelanggan sebanyak RM3.

Kamalludin berkata, ia dapat dibuktikan apabila terima banyak aduan daripada orang awam yang mendakwa mereka dikenakan caj lebih RM0.50 daripada harga kawalan yang ditetapkan.

BACA LAGI: Kes 2 beradik makan keropok beracun di Kulim, pekebun bebas dengan jaminan polis

BACA LAGI: Denda serendah RM100 gara-gara tiada undang-undang khusus untuk buli siber — WAO

2730107

KPDN juga menyita 55 kg minyak masak peket bernilai kira-kira RM165. — KPDN

Katanya, bagi memastikan aduan tersebut berasas, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa telah melakukan penyamaran dengan membuat uji beli menerusi Op Samar.

"Uji beli minyak masak peket 1 kg yang dilakukan dan maklum balas daripada anak pemilik perniagaan mengesahkan, minyak tersebut dijual dengan harga RM3.

"Susulan itu, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada pemilik premis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, KPDN turut mengenakan tindakan sita ke atas 55 kg minyak masak peket dianggarkan RM165 yang ditemui di premis itu untuk siasatan lanjut.

Kes juga akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram