Tun M cabar PM Anwar adakan PRU segera


  • Politik
  • Isnin, 22 Jan 2024

Mahathir mendakwa, pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini berlaku secara kebetulan dan bukan dengan sokongan penuh daripada rakyat.

TUN Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) serta-merta bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.

"Saya cabar Anwar untuk adakan pilihan raya hari ini. Dia berani atau tidak untuk lihat apa pilihan rakyat," katanya dalam satu sidang media yang diadakan pada Isnin.

Cabaran tersebut dilontarkan selepas Mahathir mendakwa pentadbiran Anwar ketika ini menyalahgunakan kuasa bagi melakukan siasatan rasuah terhadap pihak tertentu yang tidak menyokongnya.

Mahathir menyatakan di sebalik pelbagai tuduhan rasuah yang dikaitkan sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, beliau tetap kembali dipilih oleh rakyat dalam PRU yang dihadapinya.

"Saya menang lima pilihan raya dengan majoriti dua pertiga. Rakyat ada peluang menukar saya tetapi ia tidak berlaku.

"Kalau saya menyalahgunakan kedudukan, saya akan buat satu pilihan raya, jadi saya cabar untuk adakan satu pilihan raya hari ini," ujarnya.

BACA LAGI: Mirzan diminta bagi bukti untuk dakwa saya — Tun M

Malaysia's Prime Minister Mahathir Mohamad looks on during an interview with Reuters in Putrajaya, Malaysia, December 10, 2019. REUTERS/Lim Huey Teng

Tun Dr Mahathir Mohamad.

BACA LAGI: SPRM panggil Mirzan Mahathir bantu siasatan, beri 30 hari untuk isytihar harta

Dalam pada itu, Mahathir mendakwa, pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini juga berlaku secara kebetulan dan bukan dengan sokongan penuh daripada rakyat.

Malah, beliau turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak mempunyai idea bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi negara ketika ini.

"Saya fikir dia menjadi Perdana Menteri by default (secara kebetulan). Bukan disebabkan dia dipilih dan bila menjadi Perdana Menteri, dia gunakan ancaman terhadap pihak tertentu.

"Tapi jika dinilai berkaitan dengan keupayaan memerintah negara, dia tiada idea bagaimana untuk menangani masalah ekonomi, politik dan sosial.

"Dia cakap nak lawan rasuah, tapi kes rasuah yang berjaya dibuktikan ada prima facie dengan 47 pertuduhan terlepas begitu sahaja," ujarnya yang merujuk kepada kes perbicaraan rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram