Pindaan Akta Audit 1957 babitkan 5 prinsip beri impak positif


  • Primer
  • Khamis, 25 Jul 2024

Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 1991 malah perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini. — Gambar hiasan

PINDAAN Akta Audit 1957 dilihat akan memberi impak positif dalam pengurusan wang awam selain memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian oleh semua pihak.

Jabatan Audit Negara berkata, Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 1991 malah perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.

Menurut jabatan itu, tindakan tersebut bagi memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang melalui tiga pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan.

BACA LAGI: 'Cari titik persamaan bukan perbalahan', kumpul saintis ganding bahu dengan guru tarik minat murid belajar STEM

BACA LAGI: Tindakan tatatertib wajar dilakukan, perlu bukti kukuh jika guru tak boleh ambil dos penggalak — NUTP

2782155

Pihak yang terlibat dalam pindaan akta terbabit. — Facebook/Jabatanauditnegara

Pindaan Akta 62 juga membabitkan lima prinsip pindaan berkaitan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada peruntukan sedia ada seperti pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.

"Selain itu, pengauditan melalui pendekatan Follow The Public Money Audit, tertakluk kepada Menteri Kewangan atas dasar kepentingan awam.

"Seterusnya, mewujudkan suatu peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu dan sesuai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jabatan itu berkata, ia juga bertujuan untuk memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk melaksanakan susulan audit terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan tindakan yang diambil oleh Persekutuan, negeri, pihak berkuasa awam atau badan yang ditentukan.

Pada 3 Julai lalu, akta tersebut akhirnya dipinda selepas 33 tahun apabila Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat.

RUU berkenaan turut diluluskan setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram